26 November 2009

Selangor larang kursus BTN

Utusan - 26/11/09
Oleh ABDUL YAZID ALIAS pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 25 Nov. - Bimbang dengan pengaruh yang semakin merosot, kerajaan Selangor telah mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri ini daripada mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta merta.
Langkah itu diambil kononnya kursus tersebut didakwa sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan segera.
"Kita merasakan kursus BTN adalah proses doktrinisasi BN yang menimbulkan fenomena perkauman dan seolah-olah memecah belahkan penduduk pelbagai bangsa dan agama.
"Peserta kursus juga dilaporkan diberi risalah mengandungi pelbagai perkara yang boleh menimbulkan kebencian kepada pembangkang,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Kerajaan Selangor hari ini berhadapan dengan pelbagai isu yang boleh menghapus keyakinan rakyat terhadap kerajaan pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP ekoran beberapa kejadian yang gagal di tangani dengan sebaiknya.
Ia termasuk isu pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini yang membawa kepada insiden kepala lembu dan isu mengembalikan semula arak yang telah dirampas oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.
Halimah menjelaskan, antara institusi pengajian milik kerajaan negeri yang tertakluk kepada arahan tersebut ialah Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) serta Kolej Antarabangsa Inpens termasuk Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS).
Katanya, antara anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Beliau menambah, kursus tersebut sepatutnya digantikan dengan kursus yang mampu memupuk perpaduan di kalangan rakyat negeri ini.
/...

Tiada ulasan: