20 November 2009

SK Tengku Mahmud paling ramai dapat 5A

Utusan - 20/11/09
BESUT 19 Nov. - Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud (SKTM) di sini mengulangi kecemerlangannya apabila muncul sekolah paling ramai calonnya memperoleh 5A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Pegawai Pelajaran Daerah, Baharuddin Ibrahim berkata, seramai 79 atau 47.02 peratus daripada 168 pelajar sekolah itu berjaya memperoleh 5A yang mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh orang berbanding 72 orang tahun lalu.
Katanya, ia diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja iaitu 47 daripada 140 pelajarnya memperoleh 5A.
''SK Tengku Mahmud II pula muncul sekolah ketiga mencatatkan pelajar paling ramai dapat 5A iaitu 40 orang daripada 101 calon yang mengambil peperiksaan itu,'' katanya di sini hari ini.
Menurutnya, lain-lain sekolah yang mencatatkan bilangan paling ramai memperoleh 5A ialah SK Kampung Baharu dan SK Pusat Jerteh dengan masing-masing mencatatkan 34 orang.
Selain itu, SK Padang Luas (27 orang), SK Kerandang dan SK Kuala Besut masing-masing 23 orang, SK Permaisuri Nur Zahirah (21 orang) dan SK Tembila (20 orang).
Sementara itu, bagi peratus lulus semua mata pelajaran, Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Maarif dan SRAB Ittifakiah berjaya mencatatkan kelulusan 100 peratus.
SKTM pula mencatatkan kelulusan 95.83 peratus diikuti SK Bukit Jeruk (90.20 peratus) dan SK Kampung Raja (89.29 peratus).
Sementara itu, semua pelajar SKTM yang memperolehi 5A tahun ini menerima sumbangan hamper daripada bekas guru besar sekolah itu, Abd. Fatah Salleh semasa mengambil slip keputusan masing-masing.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Wan Ariff Rashiddin Wan Yusof memberitahu, pihaknya bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan yang dicapai oleh sekolah itu.
/...

Tiada ulasan: