30 Disember 2009

Dr. Rosli, isteri lari: Bapa mertua kecewa

UTUSAN - 30/12/09
Oleh Rodelio Junjun Taucan
rodelio.taucan@utusan.com.my
Dr. Rosli Allani Abdull Kadir dan isteri keduanya Illyani Mohd. Noor yang diperintahkan tinggal secara berasingan oleh mahkamah memasuki kereta untuk meninggalkan kediaman mereka di Kampung Telipot, Kota Bharu, semalam. – Utusan/Hafiz Johari
****
KOTA BHARU 29 Dis. – Walaupun ‘dikepung’ oleh keluarga isteri keduanya sejak semalam kerana didakwa ingkar perintah Mahkamah Tinggi Syariah, bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr. Rosli Allani Abdul Kadir dan isterinya, Ilyani Mohd. Noor hari ini berjaya melarikan diri ke tempat yang tidak diketahui dengan menaiki sebuah kenderaan.
Tindakan Rosli Allani itu menimbulkan kekecohan kira-kira pukul 10.30 pagi apabila bapa Ilyani, Mohd. Noor Che Man, 58, cuba menahan anak dan menantunya itu daripada meninggalkan rumah mereka di Kampung Telipot di sini.
Selain itu, Mohd. Noor juga menunjukkan surat perintah ‘mufarakah’ yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
Bagaimanapun, Rosli Allani, 35, dan isterinya yang berusia 30 tahun tidak menghiraukannya lalu bergegas meninggalkan rumah mereka menaiki sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Caldina.
Mohd. Noor, 58, ketika ditemui menganggap bekas ketua penerangan Pemuda Pas Kelantan itu telah melarikan anaknya dan beliau akan berusaha mencari mereka.
“Saya akan terus mencari mereka hingga ke lubang cacing bagi mengembalikan hak saya sebagai seorang bapa dan ketua keluarga,” katanya.
Semalam, Mohd Noor dan beberapa rakannya mengepung rumah yang didiami Rosli Allani dan Nor Ilyani kerana mengingkari arahan Mahkamah Tinggi Syariah supaya tinggal berasingan sementara atau mufarakah selepas kesahihan perkahwinan mereka diragui kerana disyaki dijalankan oleh satu sindiket di Selangor.
Mohd. Noor juga melahirkan rasa kesal terhadap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) kerana tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Beliau mempersoalkan peranan JHEAIK kerana tidak bertindak semalam untuk menahan Rosli Allani dan anaknya walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah ‘mufarakah’ terhadap pasangan itu.
Katanya, sebaik sahaja mengetahui pasangan terbabit masih tinggal serumah, beliau bersama peguamnya segera ke pejabat JHEAIK untuk membuat aduan namun pelbagai alasan diberi termasuk memerlukan waran terlebih dahulu daripada mahkamah.
Rosli Allani dan Ilyani berkahwin di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008.
Bagaimanapun, berikutan timbul keraguan mengenai status perkahwinan mereka, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 9 November lalu mengeluarkan perintah ‘mufarakah’ melarang pasangan berkenaan tinggal bersama sehingga kes itu diselesaikan.
Surat perintah tersebut turut memberi kebenaran kepada penguat kuasa agama jajahan dan Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan jika mendapati pasangan itu masih tinggal bersama.

/...

Tiada ulasan: