28 Disember 2009

Larangan program luar

UTUSAN - 28/12/09
Oleh HERMAN HAMID
herman@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kabinet mengeluarkan arahan tidak membenarkan anggota kerajaan dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadiri mesyuarat atau program tanpa kebenaran sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung.
Arahan itu termasuk tidak membenarkan lawatan ke luar negara oleh para menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kecuali melibatkan program yang benar-benar penting sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet Rabu lalu berikutan 'Peristiwa 14 Disember' lalu.
Peristiwa itu menyaksikan Bajet 2010 hanya diluluskan dengan kelebihan majoriti tiga undi menerusi undi belah bahagian iaitu 66 menyokong dan 63 menolak.
Selain itu menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan soal kehadiran ke persidangan Dewan Rakyat akan menjadi antara perkiraan utama bagi menentukan pencalonan semula seseorang Ahli Parlimen pada pilihan raya umum.
''Pada mesyuarat Rabu lalu, Perdana Menteri telah meluahkan rasa marah terhadap Ahli-ahli Parlimen yang gagal hadir pada malam kejadian dan sebab itu, beliau selepas ini akan bertegas termasuk memantau sendiri kehadiran mereka di Dewan Rakyat.
''Bagi kehadiran menteri, beliau (Najib) sendiri akan memantau manakala timbalan menteri oleh Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sementara Ahli Parlimen yang lain oleh sekretariat BN,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada malam 14 Disember lalu, Najib dan Muhyiddin terpaksa bergegas dari majlis di ibu negara untuk memastikan Bajet 2010 diluluskan dalam undian pada pukul 11.15 malam itu.
BN mempunyai 138 anggota di Dewan Rakyat tetapi pada malam tersebut hanya 66 orang hadir pada sesi bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.
Selain membawa implikasi besar kepada negara jika bajet tidak diluluskan, 'Peristiwa 14 Disember' itu juga boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan berdasarkan konvensyen atau amalan oleh beberapa negara Komanwel.
Sementara itu jelas Nazri, arahan terbaru Kabinet itu memberi mesej jelas kepada para penggubal undang-undang BN bahawa kehadiran mereka ke persidangan Dewan Rakyat tidak boleh diambil mudah pada masa depan.
Namun katanya, ia bukan bermakna Kabinet menghalang sama sekali program luar sewaktu persidangan Dewan Rakyat berlangsung kerana ia masih boleh diteruskan tetapi dengan kelulusan.
Menurut beliau, ini termasuk melibatkan lawatan ke luar negara yang boleh dilakukan dalam tempoh Dewan Rakyat bersidang tetapi mestilah melibatkan soal penting sahaja.
''Kalau yang benar-benar penting, mereka boleh lakukannya tetapi mesti mendapat kelulusan kerana BN akan bertegas dalam soal kehadiran.
''Mana yang tak penting tak akan diluluskan. Jadi aspek ini akan jadi salah satu perkiraan utama dalam menentukan prestasi Ahli Parlimen kita,'' jelasnya.
Berhubung cadangan supaya waktu persidangan Dewan Rakyat dihadkan agar tidak berlarutan ke lewat malam Mohamed Nazri berkata, perkara itu sebenarnya boleh ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.
Katanya, jika mereka menggunakan masa sebenar dengan sebaiknya, maka tidak perlu mesyuarat bersambung pada sebelah malam.
''Dalam hal ini juga kita tak boleh sekat orang bercakap. Kalau nak tambah hari bersidang, lagi susah pada pandangan saya.
''Jadi, kalau ahli Parlimen rasa mereka nak balik awal, jangan bercakap panjang lebar. Itu saja,'' ujarnya.
/...

Tiada ulasan: