19 Disember 2009

Pura-pura tidak tahu

UTUSAN - 18/12/09
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi, menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpura-pura tidak tahu peranan akhbar vernakular di negara ini.
Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong berkata, kenyataan Guan Eng itu memperlihatkan kelicikan beliau sebagai pemimpin parti politik yang sentiasa bersedia mensensasikan sesuatu isu.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM menjelaskan, para pembaca akhbar di negara ini termasuk Guan Eng pasti memahami kecenderungan sesebuah akhbar vernakular memperjuangkan isu berkaitan bangsa diwakili.
"Apa yang peliknya apabila Utusan perjuangkan kepentingan Melayu seperti China Press memperjuangkan nasib Cina manakala Tamil Nesan mengutarakan isu-isu kaum Tamil?
"Tapi persoalannya mengapa Guan Eng hanya memfokus kepada Utusan Malaysia? Dia pasti sedar peranan akhbar lain yang berasaskan kaum. Ini yang dikatakan ahli politik, pura-pura tak tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kok Seong mengulas kenyataan Guan Eng menyamakan akhbar ini seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia sering menyiarkan artikel fitnah serta menyemarakkan sifat perkauman di negara ini.
Semalam, Guan Eng menyokong tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam portal berita propembangkang The Malaysian Insider yang meminta Utusan Malaysia menghentikan propaganda perkauman.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri yang ditemui Utusan Malaysia kemudian menjelaskan laporan The Malaysian Insider itu tidak tepat kerana teguran tersebut ditujukan kepada semua organisasi berita di negara ini.
Kok Seong menambah, tindakan Guan Eng itu menyemarakkan sifat perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Lagipun, mengapa Utusan digelar sebegitu (penjahat) sedangkan semua orang yang banyak membaca tahu peranan akhbar itu memperjuangkan nasib kaum Melayu sejak sebelum merdeka lagi, ia bukan perkauman," tegasnya.
Pensyarah Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff menegaskan kenyataan Guan Eng itu tidak berasas tetapi menunjukkan sifat perkauman beliau yang menebal.
Katanya, walaupun Guan Eng mengetahui peranan akhbar ini dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan Melayu, beliau tetap mempersoalkannya.
"Inilah sikap dan persepsi pemimpin pembangkang yang akan mempersoal setiap perkara apabila tidak menyebelahi atau boleh dimanipulasi mereka.
"Utusan tidak harus tunduk kerana apa yang diperjuangkan adalah demi kepentingan Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya selagi tidak mengusik hak kaum lain," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Guan Eng patut mencermin diri dahulu sebelum melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif seperti penjahat.
"Guan Eng merupakan Ketua Menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang memijak atau melangkah gambar pemimpin Melayu baru-baru ini, jadi tanya dia siapa lagi jahat dan perkauman," soalnya.
/...

Tiada ulasan: