24 Disember 2009

Rosli letak jawatan: Tempelak buat Nik Aziz

UTUSAN - 24/12/09
KOTA BHARU 23 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir meletakkan jawatan sebagai suatu tempelak kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ketuanya, Anuar Sapian berkata, beliau percaya Rosli bertindak demikian kerana masalah peribadi yang tercetus ekoran kes poligami beliau dan mungkin ia tidak memberi banyak kesan kepada parti itu.
Namun, katanya, tindakan Rosli itu telah memperlihatkan bahawa beliau mempunyai prinsip dan tanggungjawab untuk menjaga integriti parti.
"Secara tidak langsung ia menempelak Nik Abdul Aziz yang masih mempertahankan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman walaupun banyak pihak dalam Pas sendiri mahu beliau segera berundur," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu sepatutnya meletakkan kepentingan kerajaan dan imej bapa mertuanya lebih tinggi dalam pelan peletakan jawatan yang hanya ditetapkannya pada Mac depan.
Bagaimanapun beliau yakin Abdul Ariffahmi yang juga anggota dewan Pemuda Pas tidak akan berganjak.
"Peletakan jawatan Rosli mungkin dianggap 'balasan' pendedahan dalam media Ahad lalu mengenai cadangan gesaan Dewan Pemuda Pas negeri agar Abdul Ariffahmi segera berundur," katanya.
Abdul Ariffahmi terseret dalam kemelut politik negeri ekoran isu menunaikan haji bersama Nik Abdul Aziz melalui tajaan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di PMBK dan masalah dalaman pentadbiran syarikat milik kerajaan negeri itu.
Rosli mengumumkan peletakan jawatannya semalam ekoran Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu kelmarin mengarahkan beliau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd. Noor, 30, kerana status perkahwinan mereka pada Disember tahun lalu diragui.
Bekas Pegawai Khas kepada seorang Exco kerajaan negeri tersebut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan dan menegaskan, dalam kes yang dibawa ke mahkamah oleh mertuanya itu, beliau berada di pihak yang benar.
Menurut Anuar, Pemuda UMNO membuat gesaan lebih awal agar Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatan dengan harapan tidak menjejaskan tumpuan sebenar kerajaan negeri.
"Kita tidak mencari kesempatan politik dalam soal itu tetapi bagi memastikan tumpuan terhadap kepentingan rakyat tidak terjejas dengan kemelut berlarutan," ujarnya.
/...

Tiada ulasan: