17 Januari 2010

MB Selangor bertegas rampas tanah milik YBK

BH - 17/01/10
Oleh Bennie Zie Fauzi
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk merampas tanah seluas 526 hektar bernilai RM540 juta di Serendah, Rawang, milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) jika yayasan itu enggan membenarkan Kerajaan Selangor campur tangan dalam urusan operasi dan pentadbirannya.
Beliau berkata, tanah yang dirancang untuk pembangunan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu akan diberikan kepada yayasan lain yang sanggup bekerjasama dengan kerajaan negeri.
"Dalam mesyuarat sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk menyerahkan tanah itu bagi projek pembangunan YBK, walaupun rekod menunjukkan yayasan mempunyai cukai tertunggak RM5 juta sejak 2001.
"Bagaimanapun, disebabkan kegagalan YBK menjelaskan kepada kerajaan negeri bagaimana aset itu ditadbir dan diuruskan, selain penjelasan bagaimana hasil keuntungan pembinaan UiTM itu dapat disalur kepada rakyat Selangor, maka kerajaan bukan saja akan membekukan pembinaan pusat pengajian itu, tetapi akan mengambil semula tanah itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Riben Kedamaian, Keharmonian dan Kasih Sayang anjuran Persatuan Penduduk Bandar Utama (BURA) di One Utama, dekat sini, semalam.
Abdul Khalid berkata, perancangan membina kampus universiti itu hanya akan diteruskan jika YBK bersedia mengikut syarat kerajaan negeri, termasuk membenarkan campur tangan dalam pengurusan yayasan itu.
"Kerajaan negeri menetapkan YBK perlu memperincikan siapa yang bertanggungjawab mengenai sebarang projek dirancang, sumber bantuan serta pembiayaan yayasan itu. Jika syarat ini dipenuhi, kerajaan bersedia menyelesaikan sebarang isu berkaitan tanah itu," katanya.
Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 20 Oktober lalu menetapkan Menteri Besar perlu dilantik sebagai Pengerusi YBK, manakala seorang lagi wakil kerajaan negeri dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan portfolio kebajikan, namun sehingga kini tiada maklum balas positif daripada yayasan itu.Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika dihubungi semalam, berkata tanah itu adalah hak milik syarikat Permodalan YBK dan sudah mempunyai geran.
"Syarikat sudah menjelaskan cukai premium tanah sejak mengambil alih pada 1997 dan jika kerajaan negeri mahu mengambil balik tanah berkenaan mereka perlu melakukan proses pengambilan semula tanah," katanya.
Cukai tertunggak RM5 juta itu katanya, adalah cukai hasil tahunan yang tidak dijelaskan lagi kerana kawasan itu belum dibangunkan.
Beliau menyifatkan tindakan terbaru kerajaan negeri itu merugikan rakyat Selangor kerana pembangunan tidak dapat dijalankan di kawasan itu dan menafikan hak rakyat untuk menikmati kemakmuran ekonomi dan mendapat peluang pekerjaan daripada projek pembinaan UiTM.
/...

Tiada ulasan: