10 Januari 2010

Mekah pada masa hadapan

UTUSAN (Rencana) - 10/01/10
Oleh Hafizahril Hamid

GAMBARAN tentang pembangunan di Mekah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

*****

BAGI umat Islam impian untuk menunaikan rukun Islam kelima pastinya satu keinginan yang semahu boleh akan cuba dilaksanakan. Lambaian Kaabah sememangnya menggamit keinginan bagi kita menyucikan diri dari pelbagai dosa yang mungkin dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.
Sebagai manusia kerdil yang senantiasa bergelumang pelbagai asam garam dunia adakalanya kita tidak mampu menghindar dari melakukan dosa. Dari sekecil-kecil dosa hinggalah yang dilaknat tuhan adakalanya kita terlupa akan suruhan dan larangan yang maha Esa. Oleh itu hati akan menjadi hiba keinsafan menyelubungi jiwa mengenang akan kebesaran tuhan dan betapa kerdilnya diri tatkala berada di Tanah Suci.
Namun impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci mungkin tidak kesampaian jika usaha untuk membesarkan lagi kota Mekah tidak dilaksanakan segera. Sekarang ini pun hendak menunggu giliran sahaja sudah memakan masa yang agak lama, oleh itu pembangunan segera kota ini harus dilaksanakan untuk kepentingan bersama.
Pembaharuan atau transformasi fizikal ini perlu dilakukan bersesuaian dengan keadaan semasa. Dengan keupayaan dan kemajuan orang Islam sekarang tidak menghairankan Mekah menjadi tumpuan umat Islam dari semasa ke semasa sama ada untuk menunaikan ibadah haji, umrah, urusan perniagaan mahupun menuntut ilmu.
Dengan keluasan dan kemudahan yang terdapat sekarang dijangkakan ia tidak dapat menampung jumlah kemasukan manusia yang semakin meningkat.
Dianggarkan sejumlah tiga hingga lima juta umat Islam membanjiri Tanah Suci hanya pada musim haji sahaja. Di bahagian dalam masjid pula ia menampung kira-kira 350,000 jemaah pada satu-satu masa. Malah jumlah ini dijangkakan bertambah kepada lapan hingga 10 juta, manakala bahagian dalam mencecah 1.5 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Oleh itu atas tuntutan zaman dan perkembangan umat Islam itu sendiri bandar Mekah, Madinah dan bandar-bandar lain kini sedang diperluas dan diperindah oleh kerajaan Arab Saudi.
Di Mekah pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji. Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih. Sejak awal tahun ini 2008 kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.
Pembangunan
Di kota Madinah, kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi. Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga akan ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah. Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah yang semakin meningkat setiap tahun. Walaupun projek-projek ini akan mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah.
Selain itu Arab Saudi turut tersenarai sebagai salah sebuah negara yang mempunyai pelan pembangunan perumahan komprehensif bernilai lebih AS$ 6 bilion (RM20.4 bilion). Projek ini merangkumi pelbagai kawasan perumahan untuk penduduknya.
Negara itu juga merancang untuk melaksanakan sebuah "projek mega" yang menelan belanja sebanyak AS$87.8 bilion (RM298 bilion) bagi membina enam bandar ekonomi. Bandar-bandar ini akan menempatkan 2.5 juta penduduknya yang dijangka mampu memberi pendapatan sebanyak AS$150 bilion (RM510 bilion) dan memberi peluang pekerjaan kepada 1.5 juta penduduknya menjelang tahun 2020.
Lebih membanggakan rakyat Malaysia turut terpilih sebagai salah seorang panel yang bertanggungjawab dalam usaha untuk meluaskan kawasan Masjidil Haram.
Beliau yang dimaksudkan ialah pensyarah dari Jabatan Seni Bina dan Arkitek Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ismawi Zen.
Dr. Ismawi yang berasal dari Kampong Gedong, Samarahan, Sarawak, telah menyatakan keghairahannya kerana terpilih dalam projek ini dalam satu pertemuan sebelum ini. Tawaran yang diterima itu adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Apatah lagi ia adalah satu kerja yang bukan kecil tanggungjawab dan amanahnya.
Dr. Ismawi kini mengetuai barisan panel arkitek berwibawa dari Arab Saudi, Turki, Algeria dan Lebanon yang bertanggung jawab menggubal satu wawasan bagi merangka garis panduan untuk merencanakan bagaimana seharusnya pembangunan semula Mekah.
Menurut Dr. Ismawi, di bawah panel ini terdapat 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, Afrika Selatan serta Malaysia.
"Setiap arkitek ini akan membentangkan kertas kerja masing-masing yang menyentuh aspek-aspek seperti ketuhanan, kerohanian, kemasyarakatan, mesra alam serta material dan teknologi yang digunakan.
"Di samping itu, aspek kesederhanaan juga menjadi asas utama agar selaras dengan falsafah Islam yakni kesederhanaan itu adalah tanda kebenaran," ujarnya.
Apa yang boleh digambarkan ialah Masjidil Haram akan berubah menjadi lebih luas, mesra alam, selamat. Reka bentuk baru itu harus tidak menyumbang kepada pemanasan global, pembaziran, keselamatan pada waktu kecemasan dan mempunyai sentuhan kerohanian apabila berada di dalam masjid.
Aspek penting lain seperti pengurusan pembuangan sisa pepejal, pengangkutan dan pengurusan berkaitan air zamzam turut dipertingkatkan. Selain itu binaan tidak boleh melindungi pandangan jemaah terhadap Kaabah, terutama ketika sedang melakukan ibadat tawaf. Namun yang paling penting nilai sejarah kota yang menyimpan seribu satu kisah dan sejarah itu tetap dipertahan dan dipelihara sehingga ke akhir hayatnya.

/...

Tiada ulasan: