14 Januari 2010

'Pesanan keramat ibu' amanat akhir SUK Terengganu

UTUSAN - 14/01/10
MOKHTAR Nong (kiri) bersalaman dengan kakitangan awam kerajaan negeri sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.
*****

KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mokhtar Nong, hanya mampu berucap kira-kira tiga minit sewaktu menyampaikan amanat terakhir kepada kakitangan kerajaan negeri sebelum cuti bersara mulai esok.
'Pesanan keramat ibunya' yang cuba disampaikan sebagai peringatan kepada pegawai kanan dan kakitangan awam berbunyi: "Setinggi mana pangkat yang kamu sandang, jangan lupa orang di bawah kamu kerana mereka juga perlu diberikan perhatian", menyebabkan beliau sebak dan gagal meneruskan ucapan.
Mokhtar yang diraikan dalam majlis khas sempena majlis persaraannya di Wisma Darul Iman hari ini, menasihatkan pegawai kanan kerajaan dan kakitangannya supaya tidak berbangga dengan jawatan masingmasing sebaliknya perlu menjaga kebajikan kakitangan bawahan.
Beliau lalu mengaitkan perkara itu dengan pesanan ibunya yang masih diingati hingga saat ini.
Bagaimanapun, sebaik saja Mokhtar mula mengingati pesanan arwah ibunya, beliau tidak mampu menyebutnya hingga habis dan mengambil masa beberapa minit kerana menahan sebak.
Beliau bagaimanapun cuba menggagahkan dirinya dan dalam keadaan teresak-esak sambil mengelap air mata dengan sapu tangan, Mokhtar akhirnya menghabiskan pesanan ibunya itu.
Selepas itu, beliau sekali lagi sebak dan memohon maaf kepada hadirin kerana tidak dapat meneruskan ucapannya.
Walaupun pesanan tersebut hanya sebaris ayat, ia menyentuh hati pegawai kanan dan kakitangan awam yang memenuhi Dewan Besar Wisma Darul Iman.
Sebahagian besar daripada mereka didapati turut menangis bersama-sama Mokhtar yang tidak mampu meneruskan ucapannya.
Beliau kelihatan begitu terharu apabila mengenangkan pesanan berkenaan serta pilu meninggalkan rakan-rakan lama yang masih dalam perkhidmatan serta kakitangan bawahannya.
Mokhtar yang mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir Negeri pada 1978, mula bercuti esok sebelum bersara 15 April depan.
Sepanjang ketiadaan beliau, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah akan memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Mokhtar menjalankan tugas terakhirnya selepas berkhidmat sebagai SUK selama dua tahun, dengan menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini.
Sebelum itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Husain Embong menyifatkan persaraan Mokhtar merupakan satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri kerana beliau sentiasa komited dalam kerja.
Katanya, Mokhtar seorang pentadbir negeri yang mudah didekati semua pihak, bukan sahaja pegawai atasan malah kakitangan bawahan.
''Sepanjang perkhidmatannya, Mokhtar melakukan pelbagai pendekatan bagi menaikkan imej dan produktiviti pentadbiran negeri ini.
''Mokhtar telah berjaya menjalankan tugas dengan sempurna dan kerajaan percaya penggantinya selepas ini akan melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang," katanya.
/...

Tiada ulasan: