15 Januari 2010

Tekad TPM atasi isu kalimah Allah

BERNAMA - 15/01/10
Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang diiringi Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies, Dr. Farhan Nizami (kanan) tertarik melihat gambar tapak projek baru yang bakal menempatkan pusat pengajian Islam itu di London, semalam. – Bernama
*****
LONDON 14 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.
“Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini,” katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama” di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.
Katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.
“Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting adalah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telah pun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.
Menurutnya, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan ada penganut Kristian berpendapat banyak perkara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya “jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah.”
Beberapa pemimpin hebat dunia seperti Nelson Mandela, Dr. Mahathir, Kofi Annan, Sonia Gandhi dan Putera Charles pernah menyampaikan syarahan mereka di pusat ini.
Sebelum itu, semasa menyampaikan syarahannya, Muhyiddin berkata, beliau mesti mengakui bahawa sebagai sebuah negara berbilang agama, Malaysia akan terus berdepan cabaran dalam menggalakkan toleransi beragama dan mengekalkan keharmonian beragama.
“Ini cabaran yang kekal dan berterusan. Ada keributan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan sebuah penerbitan Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam buletinnya.
“Walau apa pun pandangan peribadi kita berhubung isu ini, sama ada kita fikir bahawa ia adalah hak orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan Kristian atau ia adalah hak eksklusif orang Islam bagi menuntut pemilikan kalimah itu, kita perlu mengakui bahawa insiden itu menyebabkan perbalahan dalam sebuah negara yang berbilang agama,” katanya.
Muhyiddin berkata, ia hanya satu daripada beberapa contoh perbalahan yang timbul daripada pertikaian berhubung hak masyarakat beragama.
/...

Tiada ulasan: