16 Februari 2010

Guan Eng cuba tutup kesilapan

UM - 16/02/10
Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my
PULAU PINANG 15 Feb. - Tindakan kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling terbaru pada Jumaat lalu mengenai keputusan mengadakan perarakan sempena Maulidur Rasul disifatkan sebagai langkah untuk menutupi kesilapan mereka.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan tersebut seolah-olah dibuat secara tergesa-gesa.
"Kenapa perlu tergesa-gesa buat dan hantar pekeliling yang bertarikh 12 Februari itu sedangkan keesokan harinya hingga Isnin orang tidak bekerja kerana hari cuti, kenapa tidak tunggu selepas itu, jadi ini jelas menunjukkan mereka cuba berterusan membohongi rakyat.
"Kita nak ingatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, jangan jadikan umat Islam di negara ini khususnya Pulau Pinang sebagai satu komoditi mainan, hari ini cakap lain esok pula cakap lain, dia berfikiran dangkal dan tidak faham amalan tradisi.
"Guan Eng terus menerus menipu dan tidak pernah sedikit pun ada rasa mahu meminta maaf dengan penipuan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai isu perarakan Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri di Pejabat UMNO Bahagian Bayan Baru di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan, kerajaan negeri memutuskan membatalkan perarakan itu melalui surat pekeliling bertarikh 5 Februari 2010 yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan keesokan harinya pula seorang ketua jabatan tampil menunjukkan bukti.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, penjelasan Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim bahawa surat pekeliling bertarikh 5 Februari itu dihantar hanya untuk mendapatkan cetusan idea mengenai majlis sambutan tersebut juga meragukan.
"Kalau betul dia nak minta cetusan idea, kenapa dalam pekeliling itu perlu beritahu majlis perarakan sempena Maulidur Rasul dibatalkan dan pada masa sama mengapa pula surat itu turut dilampirkan dengan aturcara majlis sekali, bukan ke pelik?.
"Kerajaan negeri sepatutnya boleh menyatakan di dalam surat tersebut bahawa penganjuran kali ini berbeza dan tidak perlulah kata ia dibatalkan.
"Adakah mereka takut perarakan bertukar ganas dan apakah persepsi Abdul Malik yang juga orang Islam begitu dangkal dan hina terhadap kaum sendiri," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri di bawah kepimpinan Guan Eng membuat penjelasan terbuka kepada rakyat terutama orang Islam berhubung perkara itu dan siapa sebenarnya yang mengarahkan perarakan tersebut dibatalkan.
"Sehingga hari ini, sesiapa pun tidak pernah menjawab siapa yang buat arahan untuk membatalkan perarakan itu, adakah Malik yang mengarahkan ia dibatalkan?
"Takkan mereka nak cakap Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri yang bertanggungjawab buat pembatalan," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: