22 Februari 2010

Kaedah 4M dekati rakyat

UM - 22/02/10
PETALING JAYA 21 Feb. - UMNO akan menggunakan kaedah '4M' iaitu Media Bersemuka, Media Cetak, Media Elektronik dan Media Maya dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai projek pembangunan yang dijalankan di setiap daerah menerusi program Satu Penerangan Satu Bahagian (SPSB).
Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, kaedah 4M dilihat lebih berkesan bagi menghebahkan maklumat mengenai pelbagai projek pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan.
Menurutnya, kaedah berkenaan akan digunakan di 20,000 cawangan UMNO seluruh negara.
"Kalau boleh setiap bulan satu aktiviti kerana ini akan menggerakkan UMNO dari peringkat akar umbi dan program mesti berterusan supaya pemimpin sentiasa merakyatkan diri mereka," katanya selepas merasmikan Program Penerangan UMNO Bahagian Subang di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pemimpin-pemimpin UMNO bahagian perlu kreatif ketika menyampaikan penerangan kepada rakyat dan harus bergerak walaupun pada acara yang melibatkan jumlah pengunjung yang kecil.
"Boleh gunakan forum, seminar dan sebagainya untuk mendekati rakyat dan jangan tunggu pada majlis besar sahaja.
''Jika ada 200 orang pengunjung sekalipun, lakukan juga tugas kita," katanya.
Program itu dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober tahun lalu sebagai usaha transformasi UMNO untuk mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti pemerintah Barisan Nasional.
Sementara itu, mengulas langkah kerajaan membeli iklan dalam surat khabar arus perdana bagi menjelaskan kepada rakyat isu tuntutan hasil petroleum kerajaan negeri Kelantan, Ahmad berkata, ia merupakan satu kaedah kreatif yang mungkin akan digunakan pada masa hadapan.
"Selepas ini, jika timbul isu besar, kita akan gunakan cara ini untuk jelaskan kepada rakyat dan jika pembangkang masih tidak mahu menerimanya, terpulang kepada mereka.
"Mereka cakap nak bawa ke mahkamah, teruskanlah kerana kita telah menjelaskan sebaik mungkin tapi mereka masih tidak mahu faham. Itulah sikap sebenar mereka," katanya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: