14 Februari 2010

Kerapuhan PKR serlah 'kekuasaan' DAP

BM (Rencana) - 14/02/10
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
Tindakan Zahrain keluar parti selepas bidas Guan Eng sudah dijangka
TINDAKAN Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah dijangkakan selepas parti itu mahu merujuk beliau ke Lembaga Disiplin kerana mengkritik hebat kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Namun, ada juga pihak yang terkejut dengan tindakan berani Zahrain itu walaupun mereka tahu beliau sememangnya berani dan lantang kata-katanya dalam menegakkan perjuangannya.
Penganalisis politik menjangkakan lebih ramai yang akan mengikut jejak Zahrain seperti Ahli Parlimen Kulim, Zulkifli Nordin yang begitu lantang mengkritik rakan sekutu PKR dan DAP dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung di TV3, Isnin lalu.
Beberapa nama lain turut disebut mengikut jejak Zahrain seperti Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Ben, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo-Burne.
Bagaimanapun, Manikavasagam dan Loh awal-awal lagi menidakkan jangkaan itu dan menegaskan mereka akan tetap setia bersama PKR, sekali gus tidak akan mengikut langkah Zahrain yang bertindak keluar parti berkenaan.
Sehingga artikel ini ditulis, Zulkifli tidak memberikan sebarang jawapan berhubung perkara itu, manakala Tan yang turut mengkritik kepemimpinan Guan Eng, sebagai sokongan kepada Zahrain, membayangkan beliau akan membuat keputusan selepas sambutan Tahun Baru Cina.Anwar dalam reaksinya mengakui kecewa dengan tindakan Zahrain, namun menegaskan beliau tidak boleh terima tindakan Zahrain menghukum Guan Eng dengan kata-kata kesat.
Sebagai penasihat, Anwar sepatutnya mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan Zahrain dan menyelesaikan apa yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bayan Baru itu secara dalaman, namun sebaliknya Anwar seakan-akan takut dengan DAP yang bertindak sebagai "tuan tanah" kerajaan campuran di Pulau Pinang, sebaliknya menghalakan kecaman secara terbuka kepada Zahrain.
Ada sesetengah pendapat menyatakan Anwar dilihat tidak pandai menjaga hati ahlinya kerana lebih sibuk mahu mendapat sokongan rakan sekutu daripada pakatan pembangkang, selain jadual ketat menghadapi perbicaraan liwatnya di mahkamah. Bagi rakan sekutu Anwar yang juga peguam bela dalam kes liwatnya, Karpal Singh menganggap tindakan Zahrain tidak memberikan kesan kepada pakatan pembangkang kerana Zahrain bukan pemimpin besar.
Jelas di sini, DAP sememangnya tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada parti sekutunya, sebaliknya menganggap ia masalah kecil kerana yang keluar parti pemimpin kecil. Bagaimana pula dengan tindakan ahli kecil PKR yang sejak kebelakangan ini semakin ramai mengumumkan keluar parti kerana tidak lagi percaya kepada kepemimpinan PKR. Adakah ia perkara kecil bagi Karpal? Dalam pada itu, ada yang menyatakan tindakan Zahrain membuktikan PKR menghadapi masalah dalaman. Persoalannya benarkah wujud perpecahan dan masalah dalaman di dalam PKR atau parti itu ada masalah dengan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail bingkas menafikannya dan gambaran PKR sedang menghadapi kemelut dalaman serta digambarkan berdepan krisis antara parti amat tidak tepat. "PKR dan pakatan pembangkang menganggap gambaran sebegini sebagai sebahagian cabaran yang akan terus dihadapi sejak lahirnya PKR dan bermulanya kerjasama pembangkang," katanya dalam blog parti itu, baru-baru ini.
Jelaslah, Saifuddin cuba membuktikan bahawa apa saja masalah yang wujud dalam PKR sebagai lumrah dalam berpolitik dan hakikatnya parti itu sebenarnya masih ada sokongan berdasarkan sejarah parti yang dibuktikan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau cuba menerangkan walau apa pun tuduhan dan gambaran diberikan media dan orang luar parti itu, hakikatnya parti itu sebenarnya masih ada sokongan dan mampu membawa perubahan kepada rakyat.Benarkah seperti yang didakwa itu kerana ia datang daripada orang di dalam parti atau ia sekadar kata-kata penafian untuk meyakinkan ahli parti dan masyarakat umum atau usaha menutup "pekung di dada".
Bagaimana pula pandangan orang yang sudah keluar parti itu seperti Zahrain dan beberapa pemimpin lain seperti bekas Ketua Pemuda PKR, Mohamed Ezam Mohd Nor dan bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Zahid Mat Arip.
Apa yang jelas Zahrain dalam sidang media mengumumkan keluar parti itu kelmarin berkata keputusan keluar parti di buat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang yang dipimpin Guan Eng yang dianggap diktator dan berfikiran ala komunis.
Bagi penganalisis politik, perkembangan terbaru dalam PKR jelas menunjukkan pemimpin parti berkenaan masih tidak matang dalam berpolitik dan tiada disiplin menyebabkan kedudukannya masih goyah.
Prof Madya Dr Ahmad Nizammuddin Sulaiman, berkata parti itu yang dipimpin Anwar, tidak mampu melahirkan pemimpin yang berdisiplin serta matang dalam perjuangannya.
Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak pula berpendapat, tindakan Zahrain keluar parti kerana tidak lagi yakin dengan PKR yang tidak dapat membentuk persefahaman dan hala tuju yang sama dalam perjuangan pakatan pembangkang.
Hakikatnya, PKR dan pakatan pembangkang yang dibentuk ketika pilihan raya umum lalu masih pada peringkat rebung dan sukar menandingi kehebatan Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih matang kerana sudah bersama lebih 50 tahun.
Pemimpin dalam PKR, parti yang usianya mencecah tujuh tahun selepas bergabung dengan PRM, iaitu usia kanak-kanak baru masuk sekolah sudah tentunya menjadi halangan besar kepada parti itu untuk terus berdisiplin dan matang menghadapi onak duri dalaman parti serta kehadirannya dalam pakatan pembangkang.
PKR harus sedar mereka tidak sepatutnya tunduk kepada rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang seperti DAP yang lebih suka bertindak sebagai ketua walaupun jumlah wakil mereka di Dewan Rakyat lebih sedikit berbanding PKR.
/hwa-berita minggu.

Tiada ulasan: