1 Februari 2010

Rayuan terakhir Anwar gagal

Utusan - 30/01/2010
Oleh NORLIZAH ABAS pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 29 Jan. - Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal dalam rayuannya supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari Azlan untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.
Usahanya menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan hari ini membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.
Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menolak rayuannya berpendapat, Anwar tidak layak dibekalkan dokumen-dokumen tersebut kerana perbicaraan belum dimulakan.
Mahkamah berpuas hati bahawa berdasarkan penghakiman kes Raymond Chia, perbicaraan yang sempurna hanya bermula setelah bukti kes dikemukakan melalui saksi-saksi yang dipanggil memberi keterangan.
Sehubungan itu, panel berkenaan menolak permohonan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar agar mahkamah menyimpang daripada penghakiman kes Raymond.
Keputusan sebulat suara terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Md. Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting itu.
Hakim Abdull Hamid dalam penghakimannya menyatakan, panel itu sependapat rayuan Anwar wajar ditolak kerana pada peringkat ini hanya tuduhan dibacakan manakala saksi-saksi belum memberi keterangan.
Oleh itu, ujar beliau, memadai baginya dibekalkan kertas tuduhan agar intipati pertuduhan difahami, bukannya didedahkan kepada bukti atau bentuk pendakwaan yang dikenakan terhadapnya.
''Permohonan secara umum seperti itu tidak wajar dilayan bagi mengelakkan satu perbicaraan mini yang membuka ruang perayu mendapatkan bahan bukti kes sebelum perbicaraan penuh bermula,'' ujarnya.
Hakim Abdull Hamid turut menyatakan, Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan Seksyen 51 dan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah merupakan peruntukan yang berlainan dan perlu dibaca berasingan.
Menurut beliau, Seksyen 51A menyatakan tanggungjawab pendakwaan membekalkan dokumen yang material dan ia tidak berkaitan dengan Seksyen 51 iaitu bidang kuasa mahkamah membenarkan penemuan kepada bukti kes.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi tersilap memutuskan Seksyen 51 tidak lagi terpakai kerana tindakannya itu secara dasarnya menukar undang-undang.
Penghakiman penting itu turut membuka satu perkembangan baru dalam prosiding perbicaraan di seluruh negara kerana sebarang perintah yang dibuat tanpa menunggu perbicaraan selesai, kini boleh dirayu dan kesannya akan menyebabkan banyak kes tertangguh.
Ia diputuskan setelah panel hakim tersebut menolak bantahan awal Karpal bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 50(1) dan Seksyen 3 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman 1964.
Dengan keputusan hari ini, buat sementara waktu, pemimpin pembangkang itu terpaksa menyediakan kes pembelaan tanpa dokumen-dokumen penting pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kelak.
Bagaimanapun, perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya didengar Selasa depan di Mahkamah Tinggi masih tidak dapat dimulakan setelah Anwar mengemukakan penangguhan saat akhir, semalam.
Beliau memohon penangguhan atas alasan rayuan berhubung penolakan terhadap permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.
Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas Anwar supaya dibekalkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 25, yang juga pengadu kes.
Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: