22 Februari 2010

UMNO dan BN sentiasa terbuka

UM - 22/02/10
PONTIAN 21 Feb. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap terbuka terhadap wakil rakyat yang keluar daripada parti pembangkang untuk menyertai mereka.Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, bagaimanapun setakat ini wakil rakyat yang terlibat telah mengisytiharkan mereka menjadi wakil rakyat Bebas dengan menyokong BN.
''Terpulang kepada mereka untuk menentukan hala tuju politik masing-masing kerana UMNO dan BN tidak pernah memujuk wakil rakyat berkenaan untuk keluar daripada parti mereka.
"UMNO dan BN sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja dan terpulanglah kepada pucuk pimpinan tertinggi parti membuat keputusan mengenai mereka," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Titian Ilmu Anak Teknologi Pontian tahun 2010 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kampung Sungai Naga di sini hari ini.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, tindakan wakil rakyat berkenaan keluar daripada parti menunjukkan mereka telah menyedari kesilapan yang telah dilakukan.
Dalam pada itu, beliau yang baru pulang dari Jepun atas jemputan kerajaan negara tersebut meminta UMNO dan BN mempelajari sesuatu daripada kejatuhan kerajaan Parti Liberal Demokratik (LDP) setelah memerintah negara matahari terbit itu selama 60 tahun.
Katanya, daripada maklum balas yang diterima, salah satu punca kejatuhan parti tersebut adalah kerana kegagalan para pemimpin parti untuk mendekati rakyat yang selama ini telah memberikan sokongan kepada mereka.
Selain itu, menurut beliau, masalah birokrasi di kalangan pegawai-pegawai awam yang telah menyukarkan orang ramai untuk berurusan dan juga masalah rasuah serta penyalahgunaan kuasa turut menjadi kejatuhan parti berkenaan.
"Kejatuhan parti tersebut sewajarnya menjadi iktibar dan ingatan semua agar ia tidak berlaku kepada BN. Kita perlu sentiasa menganjurkan program bagi mendekati rakyat," ujarnya.
/hwa-utusan.

Tiada ulasan: