30 Mac 2010

'Cukuplah, kami tak mahu lagi ditipu PKR'

UM - 30/03/10
SUNGAI PETANI 29 Mac - Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini dilanda pelbagai kemelut terus menerima tamparan apabila satu lagi cawangannya di Kedah iaitu di Kampung Pengkalan Lebai Man di sini yang dianggotai oleh 217 ahli masyarakat India dibubarkan malam tadi.
Pembubaran dan pengisytiharan keluar parti itu didorong rasa tidak puas hati terhadap tindak-tanduk Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PKR Bahagian Sungai Petani yang tidak ikhlas memperjuangkan nasib kaum India.
Ketua PKR Cawangan Pengkalan Lebai Man, Mohd. Rahim Prabakaran Abdullah mendakwa, mereka tiada pilihan selain meninggalkan parti tersebut kerana kepimpinan sudah dikuasai oleh golongan yang mementingkan kedudukan manakala golongan bawahan disisihkan.
Malah katanya, rata-rata masyarakat India di situ tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR yang sebelum ini hanya pandai berjanji namun gagal menunaikannya.
"Masalah rakyat gagal diselesaikan, malah pemimpin PKR seperti Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Tan Chow Kang yang kami pilih sebelum ini, langsung tidak mempedulikan kebajikan penduduk.
"Apabila kita ajukan masalah, mereka hanya pandai berjanji tetapi tidak laksanakannya. Kini sudah dua tahun kami dijanjikan macam-macam tetapi apa pun tak nampak. Cukuplah, kami tak mahu ditipu PKR lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pembubaran tersebut.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Penyelaras Parlimen Sungai Petani, Ali Yahaya dan bekas Pengerusi MIC Kedah, Datuk V. Saravanan.
/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: