31 Mac 2010

Dewan Rakyat: 'Anwar intim dengan firma didakwa pro-Israel'

Oleh Sariha Mohd Ali, Hussain Saad dan Mohd Anwar Patho
Rohmanbhnews@bharian.com.my
BH - 2010/03/31
Penasihat PKR bersikap selektif dedah maklumat Apco: KhairyKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan rapat dengan tokoh yang menganggotai Majlis Penasihat syarikat perunding komunikasi antarabangsa, Apco Worldwide.
Katanya, Anwar bersikap selektif dalam mendedahkan maklumat mengenai Apco Worldwide ketika memberi penjelasan di Dewan Rakyat, sedangkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bukan saja mengenali dan bersahabat dengan seorang tetapi enam tokoh dilantik syarikat itu menganggotai panel penasihatnya. Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, jika benar tuduhan Anwar bahawa Apco mempunyai hubungan terus dengan kerajaan Israel, maka Anwar juga mempunyai hubungan dengan Israel kerana hubungannya dengan enam tokoh terbabit.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen, semalam, berikutan desakan Anwar supaya kerajaan membatalkan kontrak perkhidmatan Apco yang dilantik bagi menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat firma itu yang didakwa menjejaskan keselamatan negara.
Anwar membuat penjelasan itu bagi menjawab tuntutan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan One Israel.
Khairy berkata, tindakan Anwar mengaitkan kerajaan dengan isu Apco bertujuan mengalih pandangan masyarakat terhadap kes mahkamah yang dihadapinya dan juga krisis dalaman parti yang diketuainya.“Anwar juga gagal menjelaskan bagaimana Apco terbabit menasihati kerajaan dalam membentuk gagasan 1Malaysia.
"1Malaysia mula disebut Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan sulung sebaik menjadi Perdana Menteri pada April tahun lalu, sedangkan kontrak lantikan Apco hanya pada Ogos," katanya.Mengulas peranan Ethos Consulting, Khairy berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan Anwar untuk memburukkan imej beliau.
Terdahulu, Anwar (PKR-Permatang Pauh) menggesa kerajaan membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide kerana didakwa menjejaskan keselamatan negara.Katanya, tindakan itu wajar disebabkan ancaman keselamatan kerana maklumat strategik negara terdedah kepada ejen perisik asing berikutan pegawai tertinggi firma perunding itu mempunyai kaitan langsung dengan rejim zionis.
Dakwanya, tiga tokoh utama Israel dalam Apco ialah Doron Bergerbest Eilon, iaitu bekas ketua perlindungan dan keselamatan, Agensi Keselamatan Israel (ISA); Itamar Rabinovich (bekas duta Israel ke Amerika Syarikat) dan Shimon Shein (bekas duta Israel ke Jerman).
“Apco dibayar RM20 juta untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh membabitkan pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: