15 Mac 2010

Taraf Ketua Pembangkang jadi perhatian

Oleh Kamal Ahmad
BH - 2010/03/15
Sidang Dewan Rakyat hari ini perlihat pemimpin pembangkang berdepan wakil BebasMESYUARAT pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 dijadual dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada jam 10 pagi hari ini.
Upacara dalam Dewan Rakyat kemudian selesai selepas baginda menyampaikan titah perasmian dan esok wakil rakyat akan mula membahaskan titah ucapan itu. Suasana hari ini kemudian tertumpu di luar dewan khususnya di lobi Parlimen. Di ruang rehat Ahli Parlimen, menyaksikan mereka minum teh tarik bersama selain ruang di kantin awam yang pasti riuh. Hari ini tiada perbahasan dan tiada pertanyaan untuk dijawab secara lisan oleh menteri atau timbalannya.
Pastinya, esok akan menyaksikan ‘perbahasan dan perbalahan’ sengit membabitkan beberapa wakil rakyat. Pembangkang akan membangkitkan sentimen panas untuk mengheret perbahasan kepada persoalan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) yang pasti dikaitkan dengan Majlis Perundingan Melayu (MPM). Kes kehilangan dua enjin jet pejuang yang kini ada di Uruguay pula akan mencabar Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pendidikan serta ekonomi seperti Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 (GST) yang akan dibaca untuk kali pertama pasti akan dikupas mengikut persepsi pembangkang yang sedaya upaya mengeksploitasi untuk mendapat ruang dalam liputan media massa. Sejumlah 75 pertanyaan untuk dijawab lisan akan dikemukakan esok. Sebahagiannya soalan wakil rakyat parti pembangkang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi wakil rakyat kedua mengemukakan pertanyaan bagi dijawab secara lisan dan mungkin hilang status sebagai Ketua Pembangkang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan itu jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau anaknya, Lim Guan Eng menuntut jawatan berkenaan dengan alasan paling mudah iaitu DAP kini mempunyai kerusi terbanyak (28 kerusi) berbanding PKR (27) dan Pas (23).
Jika DAP tidak menuntut jawatan itu, maka ini mengesahkan Kit Siang atau Guan Eng tidak berupaya memimpin pembangkang di Dewan Rakyat. Persepsi lain mengenai keengganan DAP menuntut jawatan itu ialah ‘faktor Anwar’ dalam mengekalkan kesepakatan parti pembangkang yang boleh terlerai atau berkecai bila-bila masa.
Ringkasnya, DAP dan Pas memperalat serta menunggang Anwar untuk membolehkan sebahagian pengundi kekal menyokong kedua-dua parti itu. Anwar pula memperalat DAP dan Pas untuk merealisasikan impian duduk di kerusi Perdana Menteri tanpa mengira apa syarat sekalipun.
Jika Anwar kekal sebagai Ketua Pembangkang bermakna DAP dan Pas sebenarnya taat untuk tunduk di bawah ‘jajahan dan takluk’ ahli Parlimen Permatang Pauh itu. Di mana maruah DAP jika kekal di bawah telunjuk Anwar sedangkan kini tiba pula masanya Anwar di bawah telunjuk mereka? Seperti dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi Ketua Pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.
Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, masing-masing menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu. Namun, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang hari ini dan ‘menampakkan belang sebenar’ mulai esok.
Tumpuan mulai esok juga pastinya kemunculan empat ahli Bebas baru (menjadikan jumlahnya tujuh) iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) masing-masing keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi, manakala Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat parti itu.
Kehadiran ahli Bebas terutama empat bekas pemimpin PKR itu menyulitkan serangan pembangkang khususnya Anwar terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia akan mewujudkan satu bentuk ‘check and balance’ yang baru. Sikap, pendirian dan kecenderungan wakil rakyat Bebas khasnya bekas pemimpin PKR itu akan menjadi perhatian sama ada mereka mungkin lebih condong memihak kepada BN dan dalam aspek atau skop bagaimana mereka akan membela pembangkang.
Ketika Zahrain mengenali Anwar lebih 30 tahun, manakala Zulkifli menjadi sebahagian tulang belakang dan saraf Anwar sejak 12 tahun lalu, hakikat ini merencatkan tindak-tanduk Anwar di Dewan Rakyat sekali gus melemahkan sebahagian lagi sendi PKR yang kini cuma menanti hari untuk lumpuh.
Merujuk kepada Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul esok, Zulkifli mencadangkan 21 usul daripada 48 usul yang dicadangkan kepada Dewan Rakyat khususnya membabitkan pindaan Perlembagaan bagi menjelaskan lagi status agama Islam dan perundangan syariah di negara ini.
Beliau turut mencadangkan diwujudkan jawatan Mufti Negara dengan kuasa serta tanggungjawab dan menjawab hanya kepada Yang di-Pertuan Agong.
/hwa-bharian.

Tiada ulasan: