24 April 2010

ITU namakan Najib salah seorang tiga tokoh terkemuka

BERNAMA - 2010/04/24

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dinamakan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai seorang daripada tiga tokoh terkemuka yang banyak menyumbang terhadap revolusi digital masa kini.

Dua lagi ialah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) China Mobile, Wang Jianzhou dan Robert Kahn, seorang daripada perintis awal Internet.

Mereka dianugerah Anugerah Persatuan Telekomunikasi dan Maklumat Dunia ITU 2010 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam menggalakkan penggunaan ICT sebagai wadah yang menyediakan kehidupan lebih baik kepada manusia.

Anugerah itu diumumkan pada majlis penutupan sesi tahunan Majlis ITU di Geneva, Switzerland.

ITU, yang menyambut ulang tahun ke-145 penubuhannya pada 17 Mei tahun ini, berkata anugerah itu akan disampaikan pada Ekspo Dunia 2010 di Shanghai, China pada 17 Mei.

Semasa membuat pengumuman itu, Setiausaha Agung ITU Dr Hamadoun Touré memberikan penghargaan kepada ketiga-tiga tokoh terkemuka itu, yang banyak menyumbang dalam menghubungkan dunia melalui Internet dan telefon bimbit dan menjadikan ruang siber sebagai tempat yang selamat untuk pengguna di mana-mana sahaja.

"Sempena ulang tahun ke-145 ITU, saya berbesar hati memberikan penghargaan dan penghormatan kepada mereka ini yang telah banyak menyumbang melalui wawasan dan komitmen mereka untuk memanfaatkan potensi ICT untuk menjadikan dunia sebagai tempat tinggal yang lebih baik.

"ICT telah menjadi wadah yang penting dalam membuka laluan bagi masa depan yang lebih baik, penting dalam menentukan gaya hidup dan corak tingkah laku, menyumbang kepada pertumbuhan perdagangan dan perniagaan, menambah baik tadbir urus dan perkhidmatan perbandaran, dan mencetuskan revolusi dunia hiburan melalui pembangunan pesat komunikasi," kata Dr Toure.

Menurut ITU, Najib telah menjadikan jaringan hubungan melalui internet sebagai satu daripada keutamaan dalam pentadbirannya.

"Sebagai sebahagian Model Ekonomi Baru bagi Malaysia, beliau telah memberikan keutamaan untuk meningkatkan infrastruktur ICT. Pentadbiran beliau telah memberikan sokongan padu terhadap usaha ITU dalam meningkatkan keselamatan siber global melalui Pusat IMPACT di Cyberjaya dekat Kuala Lumpur," katanya.

Wang ialah Pengarah Eksekutif, Pengerusi dan CEO China Mobile, yang mengendalikan rangkaian telefon bimbit terbesar di dunia dengan lebih 500 juta pelanggan.

Rangkaian China Mobile meliputi semua bandaraya utama di China serta daerah-daerah dan kawasan pedalaman negara itu.

Kahn, Presiden dan CEO Corporation for National Research Initiatives (CNRI), telah memainkan peranan penting dalam pembangunan Internet berikutan beliau telah menyediakan asas protokol TCP/IP, iaitu ciri operasi standard bagi Internet.

CNRI ialah sebuah organisasi yang bukan mencari keuntungan yang menumpukan pada pembangunan strategik teknologi maklumat berasaskan rangkaian dan Kahn tanpa mengenal penat dan jemu terus membangunkan evolusi Internet, menerajui pembangunan piawaian-piawaian baru.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: