24 Mei 2010

MCA kaji masyarakat Cina bandar kurang sokong BN

BH - 24/05/2010
Oleh Johan Afandi


Fokus utama sesi ‘retreat’ di Port Dickson bermula 18 Jun

JOHOR BAHRU: Kajian mengenai sikap masyarakat Cina bandar yang kurang memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, akan menjadi fokus utama dalam sesi ‘retreat’ MCA di Port Dickson, Negeri Sembilan bermula 18 Jun ini.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, sesi selama tiga hari itu, akan dihadiri semua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MCA (CWC) termasuk Pemuda dan Wanita.

“Pada masa sama, semua wakil rakyat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta Ahli Parlimen MCA juga akan menghadiri sesi berkenaan dan kita harap satu formula dapat dirumuskan bagi mencari sebab mengapa masyarakat Cina bandar kurang me-nyokong MCA.

“Kami mahu menghimpunkan satu rumusan konkrit bagi mencari jalan penyelesaian sebelum, ia dibawa ke Dewan Tertinggi BN untuk dibentangkan, ” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat MCA bahagian Johor Bahru di sini, semalam.

Wee yang juga Ketua MCA Bahagian Johor Bahru berkata, isu berkenaan turut dibincang dalam pertemuan khas pucuk pimpinan MCA dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, dalam pertemuan selama 80 minit itu, yang disertai Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, fokus utama perbincangan adalah mengenai cadangan MCA dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, bulan depan.

Beliau berkata, ia membabitkan pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, guna tenaga dan ia amat penting supaya pelaksanaan semua projek RMK-10 meliputi segenap lapisan rakyat.

Sementara itu, Wee berkata, beliau selaku Pengerusi Biro Pendidikan MCA akan mengumpulkan semua maklumat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Keputusan penerima biasiswa JPA sudah diumumkan Jumaat lalu, dan kita harap semua pelajar cemerlang memperolehnya tetapi mereka yang tidak mendapatnya perlu sedar bahawa jumlahnya amat terhad iaitu seramai 1,500 orang saja.

“Semua pihak terutama ibu bapa perlu sedar bahawa tidak semua pelajar yang mendapat semua A akan mendapat biasiswa ini, kerana dalam keputusan SPM 2009, lebih 7,000 pelajar mendapat semua A dalam subjek yang diambil,” katanya.
/hwa-bharian.com.my

Tiada ulasan: