15 Mei 2010

Nasional G-Ekonomi lonjak usahawan Melayu

UM - 15/05/2010

Najib Tun Razak menerima cenderamata daripada Syed Ali Alattas selepas majlis perasmian Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 14 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Nasional G-Ekonomi bagi melonjakkan pencapaian usahawan Melayu dan bumiputera agar mampu bersaing dan muncul sebagai pemain ekonomi utama di peringkat global.

Kata beliau, melalui Nasional G-Ekonomi itu, sekurang-kurangnya 14 bidang perniagaan berpotensi tinggi dan kompetitif telah dikenal pasti untuk diteroka dan sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa usahawan Melayu juga mampu bersaing dalam bidang ekonomi kritikal.

"Usahawan Melayu tidak boleh lagi tertumpu kepada bidang ekonomi yang malap dan hampir senja. Sebaliknya, kena berani menerokai bidang baru yang berpotensi jika kita ingin menjadi pesaing yang kompetitif di peringkat global.

"Nasional G-Ekonomi ini akan menjadi keutamaan kerajaan dan senarai bidang ekonominya akan diumumkan kemudian,'' katanya sewaktu merasmikan Konvensyen Usahawan Melayu 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Najib berkata, langkah mewujudkan Nasional G-Ekonomi itu selaras dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkat pendapatan rakyat sebagai persediaan muncul negara maju menjelang 2020.

Namun, menurut Perdana Menteri, walaupun Nasional G-Ekonomi dirancang dengan begitu teliti dan baik bagi tujuan meningkatkan daya saing usahawan Melayu, tetapi tegasnya, langkah tersebut perlu disokong dengan nilai dan sikap positif daripada usahawan sendiri.

Dalam pada itu, Najib mahu usahawan bumiputera melengkapkan diri mereka dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan di samping memperkukuhkan reputasi sebagai seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, ilmu perniagaan telah lama menjadi subjek pengajian di universiti khususnya di Amerika Syarikat.

Sehubungan itu, katanya, tidak rugi untuk usahawan tempatan menambah ilmu berguna tersebut, kerana ia akan memberi banyak nilai tambah seperti bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan.

"Kelemahan seperti ini (kurang ilmu keusahawanan) bukan sahaja membabitkan orang Melayu tetapi juga melibatkan kaum lain kerana syarikat perniagaan keluarga pun, kadang-kadang generasi kedua sudah lumpuh.

"Dan ada syarikat milik kerajaan (GLC) juga yang sudah rugi besar.

"Maknanya bukan hanya individu, semua mesti melihat pada kelemahan dari segi ilmu keusahawanan dan perniagaan dan tolong lengkapkan diri dalam bidang ini,'' katanya.

Mengenai pengukuhan reputasi, Perdana Menteri berkata, untuk cemerlang dalam bidang perniagaan, seseorang itu harus juga mempunyai nilai yang baik serta murni jika ingin menonjolkan reputasi diri sebagai seorang usahawan.

/hwa-utusan.com.my

Tiada ulasan: