26 Jun 2010

Kerajaan komited tingkat pemilikan bumiputera

UM - 26/06/2010

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kerajaan komited memastikan golongan bumiputera menguasai lebih 30 peratus kekayaan negara melalui pemilikan ekuiti hartanah, harta intelek dan guna tenaga profesional.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin justeru mengajak masyarakat usahawan bumiputera bersama-sama kerajaan mencari jalan dan formula mendefinisikan semula dasar afirmatif bagi menjayakan hasrat berkenaan.

"Kita tidak malu mengakui wujud ketirisan dan kegagalan dalam pelaksanaan dasar-dasar pengagihan sebelum ini.

"Oleh itu, kita komited untuk melihat satu dasar pembaharuan yang seharusnya diterima secara bona fide (baik) dalam model baru ekonomi yang hendak dilaksanakan kerajaan," katanya.

Teks ucapan beliau sempena perasmian mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) ke-45 di sini, malam ini, dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Turut hadir, Presiden DPMM, Datuk Syed Ali AlAttas, beberapa duta asing dan ahli-ahli DPMM negeri dan wakil DPMM negeri-negeri.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara paling penting sekarang mengelakkan isu-isu seperti ketirisan dan ali baba yang sentiasa menghambat usahawan Melayu daripada berulang.

"Zaman pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu menjadi laluan kepada permohonan projek sudah berlalu.

"Saya menyeru DPMM dan semua NGO ekonomi Melayu lain melakukan proses transformasi selaras dengan proses transformasi kerajaan," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan tidak pernah meminggirkan agenda pembangunan ekonomi orang Melayu sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 1970 bagi menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

"Namun saya menyedari kegelisahan membelenggu orang Melayu yang takut terpinggir dalam arus ekonomi deras yang dipacu sektor swasta.

"Usahawan baru yang kurang berjaya serta kurang berkemampuan tidak harus diabaikan. Kerajaan telah menzahirkan komitmennya untuk memberi ruang kepada mereka yang gagal melalui program peluang kedua," tegasnya.

/hwa: www.utusan.com.my

Tiada ulasan: