27 Jun 2010

Komplot jatuhkan MB Selangor

MM - 27/06/2010

SHAH ALAM 26 Jun – Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengakui wujud komplot di kalangan 15 Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada terus memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, perkara itu telah diketahuinya memandangkan ada segelintir ahli Parlimen termasuk dari beberapa negeri lain tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Abdul Khalid dalam mentadbir kerajaan dan politik negeri ini.

Bagaimanapun, Manikavasagam menafikan terlibat dalam komplot berkenaan dan tidak mahu dikaitkan dengan perkara itu.

Ini kerana katanya, hubungannya dengan Khalid pernah tegang berikutan isu penyelewengan aktiviti perlombongan pasir melibatkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang ditubuhkan oleh Khalid sendiri.

“Memang saya dengar ada gerakan ini (15 Ahli Parlimen untuk jatuhkan Khalid Ibrahim) dan saya tidak mahu terlibat dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Sementara itu, Khalid menegaskan beliau tidak terfikir untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar meskipun jika ada usul daripada pemimpin parti itu yang mahunya berbuat demikian.

Beliau sebaliknya berkata, usul berkenaan sama ada wujud atau tidak, ia tidak seharusnya diperbesar-besarkan.

Katanya, ini kerana perkara sedemikian perlu melibatkan perbincangan selain mendapatkan persetujuan bersama melibatkan semua peringkat kepimpinan tertinggi PKR.

“Wujud atau tidak usul seperti itu, kita adakan perbincangan. Perkara seperti ini merupakan masalah dalaman yang perlu kita bawa dalam parti sehinggalah kita dapat persetujuan bersama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Majlis Kelab Belia India Malaysia (MIYC) negeri Selangor di sini.

/hwa: www.utusan.com.my

Tiada ulasan: