21 Jun 2010

Saya akan cerita segala-galanya hal Anwar - Nallakaruppan

UM - 21/06/2010

JOHOR BAHRU 20 Jun - ''Saya akan cerita segala-galanya mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tiba masanya dan ketika itu rakyat Malaysia akan tahu siapa Anwar yang sebenarnya."

Demikian janji Datuk S. Nallakaruppan yang juga Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).

Katanya, pendedahan itu merupakan satu daripada usaha untuk membantu 'menyelamatkan' negara.

"Ini bukan lawak atau bohong. Anwar banyak menimbulkan masalah kepada negara dan fokus utamanya adalah untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIUP di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamzah Zainudin serta Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor.

Nallakaruppan juga menyatakan kesediaannya untuk berhadapan dengan Anwar di mahkamah sambil menyifatkan 'pertemuan' itu sebagai hari yang menggembirakan.

"Saya akan menunggu hari indah itu kerana ia merupakan hari yang sangat menggembirakan saya berbanding hari-hari lain. Bagaimanapun, dia perlu menyelesaikan dulu kes liwatnya sebelum boleh bercerita mengenai hal-hal lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berhasrat untuk menjadikan MIUP sebagai sebahagian daripada parti komponen BN pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk menyertai BN pada tahun lalu dan masih menunggu keputusan mengenainya.

/hwa: www.utusan.com.my

Tiada ulasan: