27 Julai 2010

Benarkan pelajar sertai politik

UM - 27/07/2010

PUTRAJAYA 26 Julai - Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) perlu dibenarkan menyertai parti politik supaya tidak wujud pengundi muda 'atas pagar' yang mengalami krisis keyakinan terhadap sistem politik negara.

Penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, kekangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2009 yang melarang pelajar menganggotai parti politik memberi kesan kepada mereka.

''Pindaan AUKU tidak patut menjauhkan pelajar daripada politik kepartian supaya mereka dapat terlibat sama dalam proses membuat keputusan sekali gus peranan mereka dihargai.

''Disebabkan kekangan ini, stigma AUKU ini berlarutan sehingga mereka tamat belajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau diminta mengulas kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.

Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih 'duduk atas pagar' mengenai parti pilihan mereka.

Mohd. Roslan berkata, satu kaedah perlu dicari supaya golongan tersebut diberi keyakinan bahawa peranan mereka dapat mengubah sesuatu perkara menjadi lebih baik.

''Saya rasa remaja kita yang baru mencapai umur untuk menjadi pemilih masih belum begitu yakin dengan parti politik yang memerintah serta tidak yakin dengan kemampuan parti pembangkang sebagai pilihan.

''Mereka hanya fikir ini kerja orang tua kerana merasakan dirinya tidak ada peranan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pelan damai UMNO dan Pas, Mohd. Roslan berkata, sikap prejudis pemimpin Pas terhadap usaha itu akan memberi kesan kepada kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Jelasnya, sikap sebegini sekiranya berterusan mengundang kerugian kepada orang Melayu sendiri yang tidak bersatu.

''Sudah sampai masanya satu perkara baru dibawa dalam arus politik yang sudah sekian lama menjadi teras Barisan Nasional (BN) dalam penggabungan ini.

''Pas tidak harus melihat langkah ini satu perangkap baru untuk memperdayakan mereka sebaliknya harus terbuka atas dasar perpaduan Melayu demi meneruskan agenda nasional," katanya.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: