26 Julai 2010

Majlis Belia Malaysia sokong perpaduan Melayu

UM - 26/07/2010

KUALA LUMPUR 25 Julai - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik usaha badan atau persatuan di bawahnya seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke arah menyatukan orang Melayu.

Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, perpaduan Melayu seperti dicanangkan sebelum ini membabitkan UMNO dan Pas adalah perlu dan sebarang usaha ke arah itu harus diberi sokongan padu semua pihak.

Bagaimanapun, menurut beliau, MBM tidak hanya memfokus kepada perpaduan Melayu semata-mata dengan semua kaum harus bersatu bagi mengurangkan konflik dalaman negara.

"Kita amat menggalakkan perpaduan. Bagi MBM, kita memandang serius terhadap segala usaha penyatuan Melayu termasuk kaum lain.

"Perpecahan jika dibiarkan akan mengundang konflik," katanya ketika ditemui semasa berkunjung ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini baru-baru ini.

Rombongan beliau disambut Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Timbalannya, Othman Mohamad.

Selain itu ialah Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor; Pengarang Kosmo!; Baharom Mahusin; Pengurus Jabatan Pengarang, Zaharuddin Mohd. Ali; dan Pengarang Berita Utusan Malaysia, Marhaini Kamaruddin.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Mohamed Maliki dan barisan Exco MBM bertukar-tukar pandangan mengenai perjalanan dan hala tuju MBM.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki berkata, Malaysia tidak sepatutnya dibelenggu masalah dan konflik dalam isu perpaduan.

"Konflik yang mengganggu proses sosialisasi, itu sangat buruk kepada masa depan negara," tegas beliau.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: