28 Julai 2010

MB sokong cadangan DAP

UM - 28/07/2010

SHAH ALAM 27 Julai - Kerajaan negeri menyambut baik cadangan DAP yang meminta supaya dimansuhkan pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cadangan oleh Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP, Tony Pua itu rasional kerana ia hanya melibatkan hartanah yang mempunyai nilai tinggi.

Katanya, pemberian diskaun bumiputera itu juga didapati mendorong kepada amalan penyalahgunaan apabila ada pihak didapati cuba meraih keuntungan daripada kelebihan tersebut.

"Kerajaan negeri terbuka sebarang cadangan daripada mana-mana pihak untuk meningkatkan ekonomi di negeri ini.

"Mengenai cadangan ini ada rasionalnya kerana diskaun itu seharusnya digunakan untuk membantu golongan bumiputera miskin dan yang berpendapatan rendah," katanya kepada pemberita selepas menutup Dialog Bajet Selangor 2011 di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid, cadangan itu juga hanyalah melibatkan hartanah yang berjumlah RM500,000 sehingga RM1 juta ke atas dan bukan melibatkan hartanah kos rendah.

Jelasnya, jika ada bumiputera membeli hartanah berjumlah RM1 juta, ia bermakna pihak terbabit mendapat diskaun sebanyak RM70,000 dan sekiranya dijual semula harga pasaran sebanyak RM70,000 keuntungan mampu diraih.

"Atas sebab itu cadangan tersebut dibuat, bukan kerana tidak mahu menolong bumiputera tetapi untuk mengelakkan ada kumpulan menyalahgunakan pemberian diskaun itu," ujar beliau.

/hwa: utusan.com.my

Tiada ulasan: