31 Ogos 2010

6,000 sambut detik 12 malam di Dataran Merdeka

UM - 31/8/10


Ribuan warga kota berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi untuk menyambut detik 12 malam sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53.

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Meskipun tiada acara sambutan rasmi, kira-kira 6,000 warga kota tetap memenuhi Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi meraikan detik 12 malam sempena Hari Kemerdekaan ke-53 esok.

Mereka bagaimanapun hampa setelah jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad tidak langsung berdenting apabila tepat pukul 12 malam.

Keadaan itu menyebabkan tiada laungan merdeka kedengaran dan kebanyakan orang ramai beredar pulang selepas itu.

Keadaan serupa juga berlaku di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang hanya meriah dengan kehadiran ratusan warga kota tanpa laungan 'merdeka', nyanyian atau percikan bunga api.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai membanjiri pekarangan menara tersebut seawal jam 10 malam hanya datang untuk bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan malam di situ.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata, walaupun tiada sambutan ambang kemerdekaan seperti tahun-tahun sebelum ini, mereka tetap mengenang hari bersejarah tersebut dengan cara yang tersendiri.

Lebih menarik, ada yang membawa keluarga menyertai majlis qiamulail di masjid As-Syakirin berdekatan KLCC.

Sementara itu di Genting Highlands kira-kira 10,000 orang tidak berganjak bagi menantikan detik 12 malam bagi menyambut Hari Kemerdekaan walaupun hujan turun dengan lebat.

Pelbagai aktiviti menarik seperti perarakan merdeka, persembahan tarian kebudayaan dan pertunjukkan bunga api disajikan kepada pengunjung sempena sambutan ambang merdeka kali ini.

Bagi memeriahkan sambutan, Genting Highlands memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk masuk secara percuma ke pekarangan taman temanya untuk sama-sama menghitung detik 12 malam.

Selain itu, Jalur Gemilang diberikan secara percuma kepada pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan kaum bagi menyuntik semangat patriotik kepada negara.

Turut hadir memeriahkan sambutan tersebut ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: