12 Ogos 2010

Boon Hock dipecat jadi Ahli MPK

UM - 12/8/10

SHAH ALAM 11 Ogos - Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemecatan Tee Boon Hock selaku Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkuatkuasa Jumaat lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat setelah hasil siasatan kerajaan negeri mendapati Boon Hock ada melakukan perbuatan yang menyalahi etika dalam pengeluaran surat sokongan untuk mendapatkan peluang perniagaan.

Beliau berkata, keputusan pemecatan Boon Hock yang sebelum ini merupakan pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan wakil rakyat itu.

Menurut Abdul Khalid, beliau telah memaklumkan keputusan pemecatan itu kepada Yang Dipertua MPK dan tindakan yang sewajarnya sudah diambil.

''Bagaimanapun kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah dalam kes ini," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Berikutan keputusan itu kata Abdul Khalid, semua ahli majlis diingatkan agar tidak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan untuk kepentingan peribadi dan keluarga serta mengingatkan mereka supaya mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan bagi tujuan perniagaan.

Boon Hock sebelum ini menafikan telah menyalahgunakan kepala surat milik pejabat Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.

Beliau yang pernah menjadi pembantu khas kepada Ronnie bermula Mac 2008 hingga 18 November 2009 menafikan beliau ada berbuat demikian sepanjang mewakili ADUN Pandamaran itu di kawasannya.

Ekoran kejadian itu, Boon Hock yang turut dipecat sebagai ahli DAP menganggap pemecatannya itu sebagai tindakan tergesa-gesa dan tidak adil selain membayangkan wujud konspirasi untuk menyingkirkannya sebelum pemilihan parti itu yang sepatutnya diadakan bulan ini.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: