20 Ogos 2010

Ezam pertahan kenyataan

UM - 20/8/10

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor tetap mempertahankan kenyataannya mengenai kerenah penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Tegasnya, beliau tidak akan berganjak walaupun Angkatan Muda parti itu telah mengadu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendakwa Mohamad Ezam membuat pertuduhan qazaf (tuduhan zina palsu) terhadap Anwar.

"Saya tidak berganjak dan tetap mempertahankan setiap patah perkataan saya membabitkan Anwar dan Wan Azizah sama ada di ceramah, blog dan Twitter sebelum ini.

"Ini kerana ia satu kewajipan untuk menunaikan tanggungjawab saya kepada umat yang dilanda fitnah besar hanya gara-gara kerenah peribadi seorang pemimpin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin hari ini yang membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jawi di sini, mendakwa Mohamad Ezam telah membuat pertuduhan qazaf di laman Twitter miliknya.

Antara kenyataan itu yang disiarkan dalam laman blog mikro berkenaan pada 24 Julai lalu yang didakwa merujuk kepada Anwar dan Wan Azizah adalah:

"Saya juga telah lihat betapa jijiknya kerana kuasa politik seorang isteri sanggup biarkan suaminya fitnah orang untuk tutup perangai kejinya yang meliwat.

"Saya juga telah lihat betapa jijiknya hanya kerana kuasa politik seorang sanggup menjadi dayus biarkan bosnya berzina dengan isterinya hingga beranak."

Selain tulisan Mohamad Ezam di Twitter, Shamsul Iskandar menyerahkan keratan muka depan Sinar Harian pada 13 Ogos lalu yang melaporkan bekas Setiausaha Politik Anwar itu mencabar Wan Azizah bersumpah berhubung dakwaan beliau pernah dihubungi Presiden PKR itu yang memberi arahan supaya lelaki tertentu tidak mendekati suaminya.

Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, sesiapa yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa mengemukakan empat saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh, individu itu telah melakukan kesalahan.

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam berkata, beliau menyerahkan kepada Jawi untuk membuat tindakan lanjut berhubung aduan itu sesuai dengan peruntukan undang-undang syariah.

"Saya akan beri kerjasama sepenuhnya kepada Jawi termasuk kesediaan bagi pihak saya bersumpah di depan hakim di mahkamah syariah," ujarnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: