UM - 9/8/10
KOTA BHARU 8 Ogos - Keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang mengarahkan Badan Perhubungan UMNO negeri mengambil alih pentadbiran di Bahagian Rantau Panjang bagi mengakhiri 'perang saudara' yang berlaku di bahagian itu diyakini merupakan jalan penyelesaian terbaik.
Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin (gambar) berkata, beliau menaruh kepercayaan kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak 2008 di bahagian tersebut.
Katanya, segala keputusan yang bakal diambil nanti akan dipersetujui asalkan ia dibuat secara tegas dan memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
"Saya yakin ia akan diselesaikan dan kalau tidak pun sekurang-kurangnya kita dapat meredakan masalah yang berlaku ini.
"Terpulang kepada badan perhubungan untuk mengambil tindakan asalkan ia mestilah tegas kerana fokus kita mahu menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas bersama Mustapa dan pimpinan UMNO bahagian itu di sini, semalam.
Krisis yang berlaku di bahagian itu sejak 2008 menyebabkan wujud dua puak iaitu pimpinan Abdullah dan bekas Ketua Bahagiannya, Datuk Mohamad Zain Ismail.
Abdullah berkata, beliau dan Mohamad mempunyai hubungan saudara dua pupu dan sejak krisis tersebut, mereka telah mengadakan pertemuan empat mata sebanyak dua kali.
"Ia adalah pertemuan hati ke hati dan kami membincangkan mengenai penyatuan semula, bagaimanapun pasal penggantungan beliau, ia bukan bidang kuasa saya.
"Saya juga akan menjemput beliau untuk hadir dalam setiap program yang akan diadakan di Rantau Panjang selepas ini," katanya.
/hwa: utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan