27 Ogos 2010

Penghinaan yang amat besar kepada umat Islam

UM - 27/8/10

SHAH ALAM 26 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu dan Islam di negeri ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching daripada DAP yang didakwa memasuki sebuah surau dan memberikan ucapan di dewan utama solat di Kajang Sentral dekat sini baru-baru ini.

Mereka menyifatkan tindakan Nie Ching itu merupakan satu bentuk penghinaan ke atas umat Islam bukan hanya di Selangor tetapi di seluruh negara ini memandangkan Ahli Parlimen berkenaan jelasnya adalah bukan Islam.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, pihaknya memandang serius tindakan Nie Ching kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menyatakan tindakan itu juga turut bertentangan dan menyalahi hukum kerana orang bukan Islam tidak boleh memasuki ruang solat masjid atau surau apatah lagi untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam dalam rumah ibadat itu.

Jika benar dakwaan ini, ia betul-betul satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau berkenaan untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan di situ.

"Apakah kerana politik, maka hukum dan larangan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau boleh dihalalkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas pada 22 Ogos lalu.

Malah, dakwaan yang disiarkan dalam sebuah laman blog, http://anginperubahan.blogspot itu turut menyatakan bahawa Nie Ching turut menyampaikan 'tazkirah' kepada umat Islam di dalam surau berkenaan dalam keadaan tidak bertudung.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS), Datuk Mat Yasir Ikhsan menyelar tindakan pihak jawatankuasa surau Al-Huda jika benar mereka membiarkan orang kafir memasuki ruang solat dan memberikan ucapan dalam rumah ibadat itu.

Katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan aktiviti surau terbabit, barisan jawatankuasa surau itu seharusnya bersikap lebih peka dan sensitif dalam hal melibatkan persoalan agama.

Malah, beliau turut mempersoalkan adakah ideologi politik yang menjadi kepercayaan ahli-ahli Pas yang dikatakan berada dalam surau berkenaan melebihi daripada hukum dan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam.

"Jika mahu memberikan bantuan atau mengadakan ucapan, kenapa tidak pilih saja tempat lain, kenapa perlu diadakan di dalam ruang solat surau berkenaan," tegasnya.

Dalam masa sama, Mat Yasir tidak menolak kemungkinan tindakan Nie Cing itu hanyalah sebagai gimik politik untuk menarik sokongan politik di kalangan orang Melayu kononnya parti yang diwakili mereka ini baik dan tidak mengira agama dan kaum.

Walhal, katanya, orang Melayu sebenarnya telah muak dengan permainan politik sedemikian yang memperlihatkan bagaimana murah dan mudahnya martabat Islam diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: