31 Ogos 2010

Tindakan terhadap Meng Chee

UM - 31/8/10

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee jika dia terbukti melakukan kesalahan ekoran penerbitan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) menegaskan, perkara sensitif sebegini tidak boleh dibiarkan dan merupakan satu langkah yang silap serta tidak boleh dimaafkan

“Saya telah mendapat taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengenai perkara tersebut dan sehubungan itu mengarahkan siasatan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira segala aspek.

“Perbuatan seumpama itu tidak boleh dimaafkan jika terbukti dia mempersendakan isu berkaitan kaum sehingga mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakyat,’’ tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia melalui e-mel ketika diminta mengulas mengenai tindakan Meng Chee yang menerbitkan klip video berunsur perkauman.

Hishammuddin ketika ini dalam rangka lawatan tugas rasmi di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan soal-soal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan kerja dua hari bermula semalam itu melibatkan pertemuannya dengan Tengku Mahkota Brunei, Al-Muhtadee Billah; Menteri Luar, Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan turut menghadap Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau memberitahu, seni persembahan tidak boleh dijadikan alasan kononnya Meng Chee memperjuangkan kebebasan bersuara, hak atau kesaksamaan.

“Jika Meng Chee sengaja mencetus kontroversi dan mempermainkan agenda kaum, ini menunjukkan sikap angkuh dan memualkan.

“Rakyat tanpa kira kaum sama ada Melayu, Cina atau India dan sebagainya di negara ini menolak sikap ekstrem yang tidak berkesudahan seperti ini,’’ ujar beliau.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki Surau Al-Huda, beliau berkata, umat Islam perlu tahu membezakan konteks lawatan ke masjid atau surau berbanding mempergunakan masjid bagi tujuan politik dalam keadaan tak beradab.

Di JOHOR BAHRU, empat laporan polis telah dibuat di negeri ini ekoran penerbitan klip video Namewee.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar berkata, laporan polis pertama dibuat pada pukul 3.20 petang, Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya manakala tiga lagi di Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai semalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal telah ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: