20 September 2010

BN peka keperluan rakyat

UM - 20/9/10

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) peka terhadap keperluan rakyat dan tidak pernah meminggirkan aspirasi seluruh masyarakat termasuk kumpulan etnik minoriti.

Sambil menegaskan bahawa beliau adalah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat, Najib berkata, setiap etnik mempunyai peranan masing-masing dari segi tenaga, pemikiran dan harta benda untuk kemajuan negara.

Beliau menarik perhatian kepada etnik Malayali yang berasal dari Kerala, India misalnya, walaupun jumlahnya tidak ramai dibandingkan dengan etnik lain tetapi sumbangan mereka kepada negara amat bermakna dan dihargai oleh kerajaan.

"Sejak kedatangan masyarakat Malayali ke negara ini pada pertengahan kurun ke-19, mereka telah menjadi sebahagian penting masyarakat Malaysia.

"Kejayaan industri getah dan kelapa sawit yang menjadi tunggak ekonomi negara selepas merdeka banyak bergantung kepada pekerja dan pengurus yang berkesan, yang ramai berasal daripada keturunan Malayali.

"Ramai ahli profesional yang menggerakkan bidang perubatan, perundangan dan bidang lain demi pembangunan dan kejayaan negara juga keturunan Malayali," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan sempena majlis Makan Tengah Hari 1Malaysia Masyarakat Malayali di sini hari ini.

Majlis yang julung kali dihadiri oleh Perdana Menteri sejak masyarakat Malayali menubuhkan pertubuhan itu pada 1970-an, menyaksikan kehadiran lebih 8,000 ahli keturunan itu dari seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai keunikan masyarakat Malayali, Najib berkata, pendekatan 1Malaysia sebenarnya turut dicerminkan oleh komuniti Malayali yang walaupun menganut pelbagai agama seperti Hindu, Kristian dan Islam tetapi mampu hidup bersama sejak sekian lama.

Malah katanya, Kerala yang merupakan tempat asal masyarakat Malayali juga amat hebat apabila mencapai kadar literasi setinggi 95 peratus, antara yang tertinggi di India dan lebih tinggi berbanding sesetengah negara maju lain.

Pada majlis sama, Najib turut memaklumkan bahawa kerajaan sedia menimbang permintaan Pertubuhan Malayali Malaysia (AMMA) untuk mendapatkan tanah milik kerajaan di Kuala Lumpur bagi didirikan Pusat Komuniti Malayali peringkat kebangsaan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: