19 September 2010

Bukan Wan Azizah tapi Azmin

MM - 19/9/10

SEGALA teka-teki kini sudah terjawab, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali yang dianggap anak emas dan orang paling disayangi Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan November nanti.

Beliau berhasrat untuk menggantikan Syed Hussein Ali yang membuat keputusan berundur dengan alasan bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Berikutan keputusan itu sudah tentulah Anwar yang dilantik sebagai pengurus kempen kepada Azmin akan menjelajah seluruh negara bagi memastikan anak emasnya itu mencapai kejayaan. Walaupun Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR sepatutnya berkecuali tetapi syarat itu mungkin tidak terpalit kepada beliau.

Penyokong-penyokong Anwar dan Azmin berhujah, ia disebabkan yang menjadi Presiden PKR bukan Anwar tetapi isterinya, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail justeru Wan Azizahlah yang patut berkecuali, namun semua orang tahu Wan Azizah tidak ada kuasa apa-apa! Semuanya diuruskan oleh Anwar.

Sebab itulah Anwar tidak mahu dicalonkan bertanding apa-apa jawatan, buat apa nak susah payah bertanding, kalau sekarang pun sudah cukup berkuasa mengendalikan parti biarpun hanya menyandang jawatan Ketua Umum.

Apabila Azmin sudah membuat pengumuman maka calon-calon lain perlulah berfikir dua kali sama ada hendak bertanding atau tidak. Tidak kisahlah mereka disokong oleh Wan Azizah atau anaknya, Nurul Izzah, itu tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana kedua-dua mereka tidaklah sehebat Anwar dari segi pengaruh.

Sebaliknya kedua-dua mereka hanya mengikut telunjuk Anwar. Selama ini walaupun ada tindak-tanduk Anwar tidak betul, Wan Azizah terus menjadi isteri yang taat dan Nurul Izzah kekal menjadi anak yang patuh.

Oleh itu percaturan politik mereka dengan menyokong mana-mana calon yang menentang Azmin boleh dianggap satu usaha sia-sia.

Nurul Izzah dikatakan menyenangi Datuk Zaid Ibrahim berbanding Azmin, sebab itulah dalam satu kenyataan beliau menganggap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu orang yang paling layak menduduki kerusi nombor dua.

Bagaimanapun pendirian dan sokongan Nurul Izzah tidak akan menjejaskan kedudukan Azmin. Ini memandangkan Azmin sudah awal-awal lagi membuat persiapan untuk bertanding. Tambahan pula semua orang tahu bagaimana hubungan antara Azmin dan Zaid.

Kedua-dua mereka dikatakan tidak sebulu dan ia paling ketara ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tidak lama dahulu. Keadaan menjadi lebih buruk apabila kem Azmin melihat Zaid terlalu bercita-cita tinggi biarpun baru menyertai PKR.

Oleh itu Azmin ingin memastikan langkah politik Zaid tidak ke mana dan pemilihan Nomember ini dianggap detik terbaik bagi 'menguburkan' impian Zaid.

Tindakan Azmin melantik Anwar sebagai pengurus kempennya sudah menunjukkan betapa Azmin benar-benar serius ingin 'membenamkan' siapa juga yang cuba menghalang perjalanan politiknya menuju tampuk kekuasaan di dalam PKR dengan restu Anwar.

Walaupun Zaid menganggap perebutan jawatan itu tidak perlu dihebohkan kerana dikatakan tidak ada apa-apa kuasa tetapi beliau jangan lupa senario yang bakal berlaku jika Azmin menang.

Pemerhati

Anwar sememangnya membuat perancangan politik seperti itu kerana beliau ingin mewarisi PKR kepada Azmin bukan Wan Azizah, kalau pun Wan Azizah nak kekal, kekallah tetapi beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa. Selepas ini Anwar dan Azmin akan mentadbir PKR manakala Wan Azizah hanya akan menjadi pemerhati dan pengikut.

Wan Azizah tidak boleh berkata apa-apa kerana beliau bukan sahaja diberi peluang menduduki jawatan Presiden atas ehsan Anwar tetapi juga tidak sehebat Azmin yang merupakan ahli Parlimen dan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Semua orang tahu bagaimana PKR dikendalikan sepenuhnya Anwar. Orang tidak peduli apa yang Wan Azizah kata tetapi orang akan melihat apa yang Anwar cakap.

Kuasa luar biasa Anwar dalam mengendalikan PKR telah menyebabkan jawatan Presiden PKR seolah-olah hanya sama taraf dengan penaung sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) sahaja.

Wan Azizah, Nurul Izzah dan mana-mana juga pemimpin PKR hatta Zaid sekali pun tidak akan mampu memecahkan hubungan erat Anwar dan Azmin. Sama ada suka atau tidak mereka terpaksa akur.

Anwar sememangnya sudah menyediakan Azmin sebagai 'pewaris takhta' di dalam PKR. Anwar amat memahami kelemahan yang ada kepada Wan Azizah dan Nurul Izzah, kedua-dua mereka bukanlah ahli politik sebaliknya secara tidak sengaja menjadi ahli politik.

Kedua-dua mereka sebelum ini hanyalah alat kepada Anwar bagi meraih sokongan rakyat berikutan pemecatannya daripada kerajaan pada tahun 1998. Ketika itu kita masih ingat bagaimana Anwar 'mengarahkan' Wan Azizah dan Nurul Izzah bukan sahaja menjelajah seluruh negara malahan ke luar negara bagi meraih simpati.

Tetapi kini senario sudah berubah, pengaruh Wan Azizah dan Nurul Izzah sudah tidak diperlukan lagi kerana PKR sudah kuat dan Anwar telah memiliki pemimpin lain yang boleh menggantikan kedua-dua mereka.

Selepas ini kalaupun Wan Azizah atau Nurul Izzah tidak ada dalam PKR ia tidak akan membawa apa-apa kesan kepada politik Anwar, apa yang lebih penting Azmin harus ada.

Justeru beliau menyandarkan harapan besar kepada Azmin yang sejak dulu lagi menjadi orang kanannya. Anwar tidak akan mendengar cakap orang lain selain Azmin. Sebab itulah beliau bersedia menjadi pengurus kempen Azmin biarpun perbuatan itu dilihat aneh.

Anwar juga tahu selepas Azmin tidak ada orang lain yang mampu meneruskan perjuangan PKR, kalau hendak diharapkan orang seperti Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar 'alamat' kelam-kabutlah PKR.

Shamsul sudah menunjukkan bahawa beliau bukan ahli politik yang bijak, kenyataannya dalam isu pembunuhan jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya sudah membuktikan walaupun berkelulusan undang-undang Shamsul bersikap seperti 'badut-badut' dalam politik.

Ahli politik seperti Shamsul ini bukan sahaja wujud dalam PKR malahan dalam Pas. Mereka membuat kenyataan sesuka hati tanpa mempedulikan sama ada ia benar atau tidak.

Apa yang mereka mahu ialah ingin menunjukkan apa juga yang berlaku di bumi Malaysia ini ada kaitannya dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan agensi kerajaan yang mereka benci.

Inilah pemikiran politik dangkal yang ada di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang termasuk PKR. Oleh itu sudah pastilah Anwar tidak boleh bergantung harap kepada pemimpin-pemimpin seperti ini yang otak mereka tidak ubah seperti badut-badut yang membuat persembahan di sarkas-sarkas.

Justeru Anwar menyusun empayar politiknya di dalam PKR dengan memberikan isyarat yang jelas bahawa Azmin akan menerajui PKR jika apa-apa berlaku terhadap beliau.

Pertarungan

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak berharap kepada Wan Azizah atau Nurul Izzah kerana Anwar tahu kedua-dua mereka lebih rapat dengan orang-orang yang tidak menyenangi Azmin, selain mempunyai keupayaan politik yang cukup terbatas.

Sememangnya bukanlah satu rahsia lagi bahawa kedua-dua insan itu tidak menyenangi Azmin. Kenapa? Hanya mereka sahaja yang tahu.

Apabila Azmin sah bertanding, maka jawatan-jawatan lain di dalam PKR juga bakal menyaksikan pertarungan antara kumpulan menyokong Azmin dengan kumpulan anti-Azmin.

Satu sumber di dalam parti itu memberitahu, di peringkat Naib Presiden sahaja sudah berlaku pertarungan sengit apabila pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua kumpulan berkenaan akan berebut-rebut jawatan itu.

''Masing-masing cuba menonjolkan diri dan ada pula yang bertanding semata-mata tidak mahu kelompok Azmin menguasai semua jawatan," kata sumber tersebut ketika dihubungi.

Begitu juga di peringkat Pemuda apabila puak-puak yang menyebelahi Anwar juga dikatakan akan bertanding merebut semua jawatan penting dalam parti itu.

Ertinya, perancangan sudah dilakukan bagi memastikan konco-konco dan pemimpin yang menyebelahi Anwar-Azmin mencapai kejayaan di dalam pemilihan kali ini.

Walaupun keputusan untuk membuat pilihan terletak kepada ahli-ahli tetapi ia bukanlah mutlak sebaliknya ia bergantung kepada percaturan politik yang dilakukan oleh Anwar sebagai pemimpin paling berkuasa di dalam PKR.

Dalam soal ini, Anwar akan membuat percaturan politik mengikut kehendak dan kemahuannya. Anwar akan memastikan hanya orang sehaluan dan menjadi kesayangannya sahaja mencapai kejayaan dalam pemilihan kali ini, seterusnya menguasai PKR.

Oleh itu siapa juga yang bertanding mereka tidak boleh mengharapkan kejayaan selagi tidak mendapat restu Anwar, kalau pun mereka menang termasuklah bagi jawatan Timbalan Presiden, percayalah Anwar mempunyai strategi politik tersendiri bagi memastikan calon pilihannya terus berkuasa.Anwar bukanlah manusia yang bersedia menerima kekalahan atau akur kepada kehendak majoriti.

Berikutan keadaan itulah, PKR hakikatnya hanyalah menyaksikan pemerintahan seorang individu sahaja iaitu Anwar Ibrahim, yang lain hanyalah pengikut yang tidak berdaya membantah dan terus menjadi mangsa percaturan politik beliau.

Malang sekali antara yang termasuk dalam kategori tersebut ialah Wan Azizah dan Nurul Izzah. Ia membuktikan di dalam PKR bukan sahaja politik tidak mengenal kawan dan lawan, malahan ahli keluarga juga mampu 'dikorbankan'.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: