UM - 13/9/10
UNTUK mengelak daripada bertambahnya spesies seperti Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee di negara ini yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa antara kaum, riwayat hidup tokoh-tokoh seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Petra Al-Haj dan rakan-rakan seperti mendiang Manikavasagam, mendiang Khoo Kai Boo dan rakan-rakan seperti mereka perlu didedahkan dalam bentuk bercetak dan elektronik kepada warganegara muda.
Pendedahan tentang bagaimana dan betapa gigihnya para pemimpin yang mewakili kaum masing-masing supaya hidup dalam penuh harmoni, persefahaman, bersih daripada polarisasi kaum dan saling hormat menghormati antara satu sama lain sangat penting didedahkan kepada warganegara muda supaya masing-masing sedar betapa sukarnya untuk membina kemakmuran dan keharmonian bagi sebuah negara merdeka dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan agama.
Walaupun salasilah keturunan serta adat resam dan budaya sesuatu bangsa dan anutan agama menjadi teras dan identiti kepada kedaulatan sesuatu bangsa, namun rakyat Malaysia kena terima hakikat bahawa negara ini telah ditakdirkan dan disuratkan-Nya untuk didiami oleh warga pelbagai kaum yang menganut agama berlainan serta memiliki adat resam dan budaya yang berbeza. Apa pun bangsa, warna kulit dan anutan agama, kita adalah bangsa bersaudara atas nama Malaysia.
Apa yang dirancang dan dirangka untuk jangka masa pendek atau panjang, mahu tidak mahu kita kena mengambil kepentingan atas nama bangsa Malaysia supaya kemakmuran dan keharmonian hidup yang terjalin hasil daripada pelan, rangka dan kerangka yang disediakan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, mendiang Manikavasagam dan mendiang Khoo Kai Boo serta rakan seperti mereka perlu terus dipelihara.
Bukan mudah untuk memakmurkan, mengharmonikan dan mewujudkan semangat berkasih sayang, semangat persaudaraan dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum seperti di Malaysia. Ini kerana di negara-negara lain termasuk di negara yang hanya mempunyai satu bangsa dan anutan agama, masih wujud permusuhan dan peperangan. Di sesetengah negara lain pula, penduduknya boleh bergasak, hanya kerana berlainan mazhab.
Tetapi kerana kebijaksanaan kepimpinan yang terdahulu, maka kita berjaya hidup dalam keadaan aman, makmur, harmoni, muhibah dan saling hormat menghormati. Hanya akhir-akhir ini, semacam ada kalangan tertentu yang membangkitkan semangat perkauman yang jika dibiarkan boleh menyumbang kepada berlakunya rasa benci membenci antara satu sama lain, sekali gus boleh membawa kepada berlakunya huru-hara di negara tercinta ini.
Kalau dalam keadaan serba mundur yakni pada awal negara mencapai kemerdekaan daripada penjajah Inggeris, kepimpinan pada waktu itu boleh merangka formula dan pelan hidup bersatu padu dan penuh persefahaman dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini, maka adalah sesuatu yang amat malang kalau pada zaman serba moden dan negara dibanjiri oleh cerdik pandai kini, ada pihak cuba menyumbang ke arah kerosakan pelan perpaduan, keharmonian dan kemakmuran hidup penduduk negara ini, termasuk mencabar, mempertikai, memperlekeh dan mempersendakan Perlembagaan Negara walaupun ia hanya menyentuh beberapa fasal, terma dan perkara-perkara tertentu di dalam perlembagaan tersebut.
Sesungguhnya, mencegah adalah lebih baik daripada apa juga usaha untuk menyelesaikan masalah. Justeru itu, bagi saya amat wajar dan munasabah kalau mana-mana individu yang berperanan ke arah menimbulkan semangat perkauman diasingkan dari masyarakat terbanyak dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tanpa kompromi.
Jangan biarkan api menyala dalam sekam, duri dalam daging dan gunting dalam lipatan. Apa salahnya bertindak sedikit kejam untuk mengelak daripada berlakunya masalah yang membawa padah yang lebih besar kepada rakyat dan negara.
Sama ada orang politik, pendukung reformasi atau atas nama apa jua perjuangan sekali pun, dalam mengatur strategi bertujuan menarik sokongan rakyat, masing-masing boleh guna apa cara atau pendekatan sekalipun, tetapi jangan sampai mendorong kepada semaraknya semangat polarisasi kaum kerana bahayanya jika api perkauman dihidupkan termasuk jika saling cabar mencabar antara kaum, mempertikai, memperlekeh dan mempersendakan Perlembagaan Negara, maka rakyat juga yang akan merana lantaran kekacauan yang berlaku.
Jangan jadikan rakyat pelbagai kaum sebagai mangsa semata-mata kerana kepentingan politik, kepentingan reformasi atau apa-apa kepentingan perjuangan yang tujuannya hanya bersifat politik kepartian. Sebaliknya, kalau ada sesuatu masalah, selesaikan ia dengan semangat kebangsaan yang hasilnya tidak merosakkan negara.
RAMLI ABDUL HALI, Kota Bharu, Kelantan.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan