UM - 4/9/10
KUALA LUMPUR 3 Sept. – Rakyat Indonesia di negara ini cukup matang untuk menilai permintaan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) supaya mereka pulang ke republik itu.
Konsul Penerangan Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia di sini, Widyarka Ryananta (gambar) berkata, rakyat Indonesia perlu memikirkan kesenangan hidup di Malaysia sebelum menimbangkan permintaan Bendera.
Katanya, pendirian yang dibawa oleh pihak Bendera hanya pandangan segelintir kecil rakyat Indonesia yang tidak bersyukur dengan kesenangan hidup sekarang.
“Mereka hanya tahu mengadakan perhimpunan haram, mereka tidak fikir kesan terhadap kedua-dua negara.
“Kita lebih mementingkan keamanan dan kesejahteraan hidup di sini, rakyat Indonesia yang datang bekerja di Malaysia dapat menikmati suasana kehidupan yang berbeza berbanding di sana,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas tuntutan Bendera agar Jakarta segera memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur selepas kesemua rakyat Indonesia dibawa pulang ke sana.
Bendera kembali aktif melakukan protes berbentuk provokasi dan penghinaan ke atas Kedutaan Malaysia serta kepentingan negara di sana sejak minggu lalu bagi membantah penahanan tiga anggota penguat kuasa marin negara itu oleh polis Malaysia pada 13 Ogos lalu.
Pada insiden itu, tujuh nelayan Malaysia turut ditahan penguat kuasa marin Indonesia akibat kekeliruan batas sempadan perairan masing-masing.
Menurut Widyarka, beberapa insiden sebelum ini melibatkan pengikut Bendera membakar Jalur Gemilang tidak sepatutnya berlaku.
“Sebagai negara berjiran kita sepatutnya saling bekerjasama dan menjalinkan hubungan baik. Saya rasa masalah ini dapat diselesaikan dengan baik, memandangkan kedua-dua negara mempunyai pemimpin yang bagus,” katanya.
Dalam pada itu Widyarka turut meminta rakyat kedua-dua negara supaya tidak melayan provokasi dan permintaan Bendera itu kerana ia bukan melambangkan sentimen sebenar rakyat serta kerajaan Indonesia.
“Saya juga sarankan pihak media di kedua-dua negara supaya tidak terus mensensasikan isu ini,” katanya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan