25 September 2010

Lagu Anak Bocek pikat penonton Indonesia

BH - 25/9/10

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bharian.com.my

APO ngumpan anak bocek, anak cacinglah ngolang-ngolang, macam mano ayo nak manjek, bocek kocik yo bolun godang. (Apa nak diumpan anak haruan, anak cacing bergerak-gerak, macam mana haruan nak panjat, haruan kecil belum besar).
Kaie pendek tali eh panjang, poie memancing di waktu siang, anak bocek umur eh panjang, dapek yo lari colah menciang... Alah bocek (kail pendek tali panjang, pergi memancing waktu siang, anak haruan umurnya panjang, dapat lari di celah pokok pisang).

Itulah lirik lagu Anak Bocek (anak haruan) dalam irama tradisional Negeri Sembilan atau lebih tepat dipanggil Bongai, nyanyian Mohamat Faizal Ahmad dari Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan (YNS) pada Festival Antara Budaya Surabaya 2010 di Indonesia, baru-baru ini.

Lagu itu diiringi penari kumpulan berkenaan berjaya memukau penonton kerana keindahan melodi, seni kata dan gerak tarinya. Sebaik selesai persembahan, penonton bangun memberi tepukan gemuruh – sambutan yang sebenarnya tidak dijangka daripada khalayak yang majoritinya warga Indonesia. Bukan prejudis, tetapi hakikatnya kesenian dan kebudayaan Melayu malah kejadian di Malaysia sering diancam provokasi segelintir warga negara jiran itu walaupun masing-masing menyedari hakikat sejarah kedua-dua negara berasal daripada rumpun sama.

Justeru, melihat sambutan terhadap persembahan kebudayaan Negeri Sembilan itu di bumi Indonesia, ia dianggap satu kebanggaan kepada wakil kebudayaan YNS yang sebenarnya memainkan peranan sebagai duta kecil. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan reaksi keterlaluan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) yang melancarkan Sapu Malaysia, berdemonstrasi serta mencemar kedaulatan pejabat kedutaan Malaysia serta Jalur Gemilang di Jakarta.

Betapa panasnya serangan terhadap Malaysia melalui media arus perdana dan alternatif terutama laman internet termasuk ruangan forum dan blog ketika itu sehingga timbul laporan BENDERA sudah mengumpulkan pahlawan dan pejuang terbilang mereka untuk menyerang Malaysia.

Namun kali ini, ketika kumpulan Angkatan Seni Baru YNS membuat persembahan, ternyata sambutan diberi sangat berbeza – walaupun sebenarnya mereka berada di bandar yang diberi jolokan Kota Pahlawan. Festival Antara Budaya Surabaya keenam disertai 22 kumpulan tempatan serta asing termasuk dari Malaysia, Brunei, Korea, Belanda, India, Zimbabwe, China dan Jepun. Ia berlangsung sembilan hari di beberapa lokasi tumpuan ramai dengan majlis penutup di Taman Surya Surabaya dihadiri lebih 2,000 penonton termasuk wakil kedutaan asing. Antara nyayian dan tarian dipersembahkan kumpulan YNS ialah Lambaian Negeri; Asli, Inang dan Joget; Endang Ya Maulai; Gema Negeri Sembilan; Endang Bukit Tangga dan Anak Bocek yang mempunyai makna tersendiri mengenai sejarah dan kebudayaan Malaysia terutama di Negeri Sembilan.

Pegawai Kebudayaan YSN, Farman Othman yang juga penyelaras kumpulan itu berkata, tiada apa yang lebih indah bagi pengamal kebudayaan apabila melihat khalayak menghargai persembahan mereka.

“Bukan sukar membuat persembahan, tapi yang susah menarik minat dan perhatian mereka kepada persembahan itu sendiri yang adalah kombinasi muzik dan tarian.

“Apabila penonton melihat persembahan kita dengan penuh minat dan memberi tepukan gemuruh sehingga ada yang menjerit memuji persembahan, ia petanda jelas mereka menikmati dan menghargai persembahan itu,” katanya.

Katanya, lebih penting bagi kumpulan atau pejuang kebudayaan itu, adalah orang luar semakin mengenali kebudayaan unik bangsa Melayu yang diperturunkan daripada nenek moyang mereka. Sementara itu, Wali Kota Surabaya, Bambang Dwi Hartono, berkata beliau melihat banyak persamaan antara kebudayaan Malaysia dan Indonesia.

“Itu bukti kita serumpun dan tidak perlu bergaduh siapa memiliki sesuatu unsur kebudayaan, sama ada dalam bentuk lagu mahu pun tarian kerana hakikat kita bangsa serumpun tidak boleh diubah. Yang penting, kesenian warisan nenek moyang terpelihara walaupun berusia berabad lamanya. Itu perkara yang patut difikirkan semua pihak kerana jika kita sibuk mempertikaikannya, lama-kelamaan ia akan pudar,” katanya.

Tiada siapa yang waras mahu terbabit dalam pertikaian yang tidak membawa kepada kebaikan, ibarat pepatah yang menang jadi arang, kalah jadi abu.

Bagi rakyat Malaysia, masih banyak perkara lebih berfaedah untuk dilakukan demi memajukan negara daripada terbabit pertikaian yang hanya merugikan kedua-dua pihak.

Pendapat sama turut dizahirkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, ketika ditemui baru-baru ini yang tidak mahu pertikaian hak milik kebudayaan menjadi halangan kepada hubungan baik antara dua negara.

“Kita mahu rapat dan mengharmonikan hubungan baik kedua-dua negara melalui pentas kebudayaan atau dalam erti kata lain merapatkan jurang Nusantara,” katanya.

/hwa: bharian.com.my/

1 ulasan:

Unknown berkata...

Lagu ANAK BOCEK nie menyamai lagu ANAK BOCEK Masyarakat Melayu Kampar, Riau Sumatera...jadinya masyarakat N9 tu adalah kturunan MELAYU KAMPAR...bkn Minangkabau.