19 September 2010

Lebih 50,000 kunjungi rumah terbuka Perdana Menteri

MM - 19/9/10

PEKAN 18 Sept. - Lebih 50,000 rakyat menghadiri majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dataran Pekan di sini dengan semangat 1Malaysia.

Rumah terbuka yang bermula pukul 10 pagi dan berakhir 2 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai kaum saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah di hampir 100 gerai yang disediakan di dataran tersebut.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, Sultanah Pahang Sultanah Kalsom dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah berangkat menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Haiza, Maya, Syed Sobrie dan Jaafar Onn, manakala Raja Azura bertindak sebagai pengacara.

Bagi memeriahkan sambutan kali ini, sebanyak 88 pengusaha makanan terlibat dalam penyediaan juadah di gerai-gerai yang disediakan.

Antara juadah berkenaan ialah murtabak mengkasar, puding raja, laksa Pekan, nasi minyak dan char koew teow.

Salah seorang pengunjung, Chan Kok Foo, 55, dari Temerloh berkata, dia bertuah kerana dapat merasai semangat 1Malaysia melalui sambutan rumah terbuka itu.

''Tiada apa dapat saya katakan selain terlalu gembira dengan keunikan budaya di negara ini yang dapat dikongsi semua kaum.

''Saya harap budaya dan semangat seperti ini akan berterusan sampai bila-bila," jelasnya yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Bagi guru penolong kanan sebuah sekolah di Mentakab, Lim Jit Hun, 51, dia amat bersetuju dengan saranan Perdana Menteri bahawa penganjuran rumah terbuka perlu datang dari hati yang tulus ikhlas.

''Saya datang dari Mentakab sejauh lebih 100 kilometer semata-mata mahu merasakan semangat 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri," jelasnya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: