27 September 2010

Mustaffa tetap rebut Timbalan Presiden PKR

BH - 2010/09/27

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub tetap akan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada pemilihan November depan walaupun tewas merebut jawatan Ketua Cabang Pasir Salak, kelmarin.

Mustaffa yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Perak, berkata kekalahan itu tidak akan mematahkan semangatnya, malah beliau akan membuat pengumuman untuk bertanding jawatan tertinggi itu secara rasmi pada awal bulan depan.

“Itu hanya kekalahan di peringkat cabang dan saya percaya tidak akan memberi kesan kepada undi untuk saya bertanding jawatan timbalan presiden.

“Malah, saya juga akan membuat laporan membabitkan masalah yang timbul ketika perjalanan mesyuarat itu, semalam (kelmarin),” katanya kepada Berita Harian.

Mustaffa yang juga Pemangku Ketua Cabang Pasir Salak sejak 2007 tewas kepada bekas ketua cabang itu, Osman Abdul Rahman. Beliau bagaimanapun dicalonkan untuk bertanding timbalan presiden oleh cabang berkenaan, sementara Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Mustaffa antara empat calon yang sudah melepasi tahap kelayakan bertanding jawatan nombor dua itu, selain seorang lagi Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: