21 September 2010

Nota selamat tinggal Beng Hock

UM - 21/9/10

SHAH ALAM 20 Sept. - "Ou Yang, Dalam keadaan tidak menyalin fail dalam komputer saya, mereka telah mengambil semua komputer itu. Mereka asyik menyalahkan kamu. Minta maaf. Tidak mengerti tapi pura-pura mengerti, akhirnya menyusahkan kamu.

"Saya kata, 'mendapat kelulusan YB'. Mereka berdegil menaip 'mengikut arahan YB'. Saya tidak dapat membantu kamu. Maaf. Minta maaf, saya sangat penat. Selamat Tinggal."

Itulah kata-kata yang dipercayai ditulis Teoh Beng Hock untuk seorang individu pada sehelai kertas putih bersaiz A4 dalam bahasa Cina bercampur bahasa Melayu sebelum Setiausaha Politik Exco Selangor itu ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Ia diterjemah sepenuhnya ke dalam bahasa Melayu oleh jurubahasa mahkamah, Ting Ching Kin dan dikemukakan di Mahkamah Koroner di sini, hari ini melalui pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Nazri Zainal.

Ahmad Nazri semasa memberi keterangan berkata, nota tulisan tangan berada di dalam beg sandang milik Beng Hock bersama helaian kertas serta pelbagai barangan lain seperti dompet, buku nota dan peralatan komputer semasa membuat pemeriksaan pada 17 Julai 2009.

Jelasnya, selepas bercakap dengan pakar psikiatri dari Hospital Permai, Tampoi, Johor, Dr. Bada'ah Yahya pada 7 Oktober tahun sama, beliau berasa curiga terhadap isi nota tersebut dan mula menyedari kepentingannya.

"Saya menghubungi Dr. Bada'ah bagi mengetahui perkara yang perlu diambil terhadap keluarga si mati. Dia kata, biasanya dalam kes bunuh diri, akan ada surat yang ditinggalkan si mati. Saya kata tidak jumpa apa-apa.

"Semasa menyusun barang kes untuk dikemukakan di mahkamah, saya jumpa sehelai kertas A4 tulisan tangan bahasa Cina dan teringat kembali kata-kata Dr. Bada'ah. Saya meminta seorang pegawai polis menterjemahkannya sebab saya rasa curiga dengan isi kandungan surat itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan peguam yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu prosiding inkues menyiasat kematian Beng Hock, Tan Hock Chuan.

Menurut Ahmad Nazri, selepas memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan, beliau diarahkan mendapatkan contoh tulisan tangan Beng Hock untuk dibuat perbandingan dengan nota tersebut.

Bagaimanapun, usaha beliau gagal kerana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menyimpan contoh tulisan tangan lelaki itu manakala barangannya di rumah sewa pula diambil keluarganya.

"Pada 9 Oktober 2009, saya hantar nota tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia. Catatan minit mesyuarat setebal 18 muka surat turut dihantar kepada pemeriksa dokumen, Wong Kong Yong.

"Untuk perbandingan, saya hantar 10 helai salinan pernyataan dalam pemeriksaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), salinan kad pengenalan, kad Visa Public Bank dan buku catatan ringkas pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan baucar bertulisan Cina," katanya.

Semasa disoal oleh peguam yang mewakili keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri mengaku barangan yang dihantar untuk perbandingan tidak disahkan milik siapa walaupun sebahagiannya ditemui di dalam beg sandang kepunyaan Beng Hock.

Sementara itu, Ching Kin, 23, yang turut memberi keterangan hari ini turut disoal bertalu-talu oleh Gobind berhubung terjemahan yang dibuat terhadap nota tersebut.

Antara yang dipersoalkan adalah satu perkataan bahasa Cina yang membawa maksud 'selamat jalan' atau 'jumpa lagi' serta perkataan berdegil yang mungkin membawa maksud berkeras atau berkasar.

Dia yang bertugas di mahkamah di sini juga mengesahkan tulisan pada kertas A4 itu kurang cantik selain ada beberapa perkataan yang tidak dapat dibaca serta menggunakan enjin carian Google untuk membuat terjemahan.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas akan bersambung pada 14 Oktober depan.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: