4 September 2010

Pelaksanaan hudud ambil masa - Nik Aziz

UM - 4/9/10

KOTA BHARU 3 Sept. - Hukum hudud yang diperjuangkan Pas sudah tentu mengambil masa untuk dilaksanakan disebabkan ada penentangan daripada pihak tertentu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun menyifatkan penentangan tersebut perkara lumrah yang mesti dihadapi Pas apabila hendak melaksanakan undang-undang Islam itu.

"Biasalah perkara baru apabila orang dengar akan ditentang. Seperti juga parti Islam 50 tahun dahulu orang tentang. Ada pihak kata politik suku agama suku, sekarang parti Islam pula yang jadi kerajaan.

"Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai.

"Jadi, hudud ini biarlah kita sebut-sebut dahulu, lama-kelamaan nanti tentu orang menentang akan tertanya-tanya juga tentang kelebihan hudud yang kita cita-citakan ini," katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyatakan hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya Pas dan pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan memerintah negara.

Beliau berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini bersetuju tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar menyeru rakyat negeri itu agar terus berdoa semoga Petronas terbuka hati untuk membayar royalti minyak yang disifatkannya sebagai hak mereka.

"Saya sebagai pemimpin negeri yang menjaga hak rakyat telah memfailkan saman di Kuala Lumpur kerana ini tuntutan agama, ini yang Islam ajar.

"Jadi, kita tuntut daripada Petronas dan kita berusaha sama ada melalui doa atau apa jua usaha, mudah-mudahan diterima," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau percaya Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak akan berjaya merampas semula Kelantan buat selama-lamanya sekiranya kerajaan negeri berjaya dalam tuntutan saman tersebut.

"Baguslah, mudah-mudahan selama-lamanya dia (UMNO) tidak akan dapat balik Kelantan," katanya.

Katanya, pelbagai usaha dan ugutan seperti tindakan menyekat royalti minyak itu sebenarnya daripada UMNO.

"UMNO tidak ada sebarang hujah untuk hidup. Apabila gerakan Islam ada bersama, gerakan lain jadi malap. Untuk menaikkan diri dia (UMNO) maka terpaksa buat macam-macam perkara, dengan duitlah dengan ugutlah.

"Tetapi gerakan Islam tidak payah ugut, tidak payah duit, tidak payah memperalat apa-apa kerana ia mempunyai hujah yang cukup," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: