UM - 7/9/10
Menjelang musim Hari Raya Aidilfitri, seringkali ramai yang ternanti-nanti untuk menyambutnya bersama keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan yang menampakkan sambutan di Malaysia berbeza dengan negara lain. Cuti yang panjang digunakan untuk menghabiskan masa lapang bersama semua sehingga tiket bas, kereta api dan kapal terbang sama ada habis atau menjadi mahal sehingga ada yang tidak dapat beraya di kampung.
Lebuh raya menjadi sesak apatah lagi diberikan pengecualian bayaran tol di beberapa kawasan menambahkan keseronokan untuk pulang ke kampung. Bandar raya menjadi kosong, lesu, kaku, sunyi dan sepi. Jualan murah digunakan untuk membeli barangan untuk kesemua ahli keluarga yang menunjukkan nilai 'kekeluargaan' mendasari perayaan seperti ini.
Ramai yang melihat perayaan Hari Raya Aidilfitri sekadar tamatnya tempoh masa berpuasa selama satu bulan tetapi tidak mahu menilai signifikasi perayaan tersebut bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi keseluruhan rakyat negara ini.
Beraya di kampung menjadi satu kemestian satu ketika dahulu kerana dapat meraikannya dengan kesemua ahli keluarga dalam suasana tradisional berbanding dengan di bandar yang memperlihatkan bagaimana masyarakat sudah berubah menjadi lebih bersendirian.
Kini, seolah-olah masing-masing hanya berjumpa di bazar Ramadan ataupun masjid sehingga terhakisnya budaya ziarah-menziarahi antara satu sama lain.
Bazar Ramadan turut menjadi tumpuan masyarakat berbilang etnik negara ini, yang mana perayaan Hari Raya itu dengan sendirinya menggambarkan bagaimana masyarakat yang pelbagai mengetepikan perbezaan, bersalaman dan menunjukkan tanda setiakawan sesama mereka.
Penulis dilahirkan di bandar Tanjong Malim, Perak dan berkesempatan untuk menamatkan pengajian rendah dan menengah di bandar ini sebelum melanjutkan pengajian di ibu negara.
Musim hari raya merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan kerana setiap kali menyambutnya, ia seolah-olah menjadi sambutan ramai, bukan hanya dalam kalangan masyarakat Islam di kampung penulis.
Ketika di sekolah berasrama di Kuala Lumpur pula, seringkali di hari terakhir persekolahan sebelum bercuti raya, kesemua pelajar baik yang Islam mahupun bukan Islam akan bersalaman, memohon maaf atas sebarang keterlanjuran terutama ketika bermain mercun buatan sendiri bersaing dengan sekolah lawan yang berhampiran.
Pengalaman yang sukar dilupakan ialah ketika dendangan lagu 'Dendang Perantau' oleh salah seorang rakan menjadi latar belakang ketika kesemuanya berkumpul di padang sekolah beramai-ramai.
Peristiwa ini akan diperhatikan oleh sekolah-sekolah berasrama berhampiran yang ada kalanya mahu turut serta mengetepikan permusuhan yang sentiasa wujud menandakan permulaan baru.
Di kampung pula, bersahur dan berpuasa adalah lumrah serta bersama dalam persiapan membuat dodol, memasak lemang, menganyam ketupat dan bersiap untuk bertandang ke rumah sahabat merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu dan sering menjadi perbualan ketika bermain bola, sepak takraw dan badminton.
Walau di musim berpuasa sekalipun, padang tidak lesu sama sekali. Jika di awal pagi, sahabat-sahabat akan ke masjid, yang lain akan bersiap untuk bersama meraikan hari raya. Ia tidak menjadi penghalang dalam kalangan ahli keluarga kampung kami yang juga sentiasa menjadi pendorong dalam meneruskan amalan ini.
Azan dan takbir kedengaran di madrasah, surau dan masjid. Iman masjid yang kini sudah pulang ke rahmatullah sentiasa bersedia untuk diziarahi oleh sesiapa sahaja. Malah disebabkan rumah Tok Imam hanya di belakang rumah penulis, 'asma al husna' boleh kedengaran setiap malam sebaik sahaja beliau pulang dari masjid, bukan hanya di bulan Ramadan.
Malam tujuh likur, kampung dihiasi dengan kilauan gemerlapan cahaya pelita sumbu minyak tanah untuk memberkati mujarab malam-malam tersebut diimbangi dengan amal ibadah. Di malam Hari Raya, marhaban dengan laungan takbir menandakan sudah tiba malam terakhir Ramadan dan permulaan bulan Syawal.
Adakah nilai seperti ini masih wujud dalam kalangan generasi hari ini? Di manakah titik pertemuan ke arah mengukuhkan nilai kemuafakatan sebagaimana yang boleh dilihat satu ketika dahulu? Perasaan syak wasangka seolah-olah menyelubungi masyarakat hari ini sehingga kecurigaan hadir disebabkan oleh sifat radikal dalam fahaman politik dan bukan ideologi keagamaan.
Nilai kejujuran yang menjadi inti pati pupus kini. Agama diwarnai dengan pelbagai cara dan tafsiran; kesemuanya bergantung kepada terjemahan yang dilakukan oleh pengikutnya. Yang menarik adalah, semakin rakyat celik huruf meningkat; semakin kesedaran mengenai isu agama yang mikro menjadi tumpuan.
Amalan dulu yang membawa kesemua bersama kini menjadi taboo bagi segelintir anggota masyarakat. Tidak ketinggalan ada yang menutup rumah dan bercuti ke luar negara untuk mengelak rumah mereka dicerobohi oleh pelawat yang akan mengotorkan perhiasan rumah mereka.
Persaingan bukan lagi dengan pengukuhan kemuafakatan, integrasi dan keharmonian tetapi keupayaan untuk memobilisasi kekuatan ekonomi masing-masing untuk menentukan kelas masyarakat dalam mobiliti sosial menjadi keutamaan.
Ini berbeza dengan zaman kanak-kanak penulis yang menziarahi hampir kesemua rumah di kawasan kediaman. Yang menarik adalah hampir kesemua rakan sekelas hadir sama tanpa mengira latar belakang agama. Malah rumah guru-guru menjadi tumpuan kerana rasa hormat dan pengiktirafan ke atas status guru itu sendiri.
Tanah air kita telah melalui proses urbanisasi yang hebat sehingga membawa kepada anjakan dalam bilangan kelas menengah; tidak kurang bilangan yang bersifat individualistik dan materialistik. Adakah ini juga menjadi petanda masalah hubungan antara etnik di negara ini?
Jika dahulu tidak pernah menjadi masalah untuk ziarah dan melawat rakan-rakan di sekitar kawasan perumahan, kini ada segelintir yang resah sama ada boleh melawat atau akan diterima jika melawat?
Yang dulu ekstrem, kini mahu menjadi liberal dan membuat percaturan politik dalam segala tingkah laku mereka. Yang liberal seolah-olah hilang haluan apabila ada alternatif baru muncul dengan pendekatan yang mereka kuasai satu ketika dahulu.
Adakah kita mahu kesemua keputusan dibuat berdasarkan kepada kepentingan politik atau bertemakan nilai kemanusiaan? Adakah kita mampu mencari satu mekanisme baru untuk melihat sesuatu isu melangkaui nilai politik kepartian?
Negara telah melalui satu rentetan sejarah yang cukup panjang dan mencabar dalam mempertahankan kemuafakatan dan kesepaduan masyarakat pelbagai etnik. Perbezaan yang wujud bukan baru, persamaan yang ada juga bukan lama. Kepelbagaian perayaan, makanan, gaya hidup, agama, etnik, kepercayaan, sukan, filem, muzik dan keturunan adalah budaya.
Budaya kepelbagaian ini sebenarnya merupakan aset yang paling dominan untuk diperkukuhkan kalaupun tidak diperhebatkan. Kekuatan adalah pada kepelbagaian yang seharusnya tidak dijadikan sebagai penghalang tetapi sebagai alas untuk mencipta nilai perkongsian yang sepadu.
Jurang yang wujud dalam masyarakat bandar dan luar bandar; jurang intra etnik dan inter etnik; serta jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak kesemuanya memerlukan pengorbanan dan kompromi diselaputi dengan kejujuran.
Musim perayaan boleh digunakan untuk memahami sanubari hati masing-masing agar kestabilan dan keadaan yang tidak menentu, tidak berterusan demi generasi akan datang.
Barangkali perlu menyusun strategi untuk mencari resolusi yang sama, bila perlu bercakap dan bila perlu senyap; bila untuk mempertahankan kepercayaan dan bila untuk berkompromi; bila untuk menerima kegagalan dan bila untuk melakukan penambahbaikan serta perubahan.
Agar masing-masing dapat terus membina dan mencipta; melakar dan mewarna; memagari dan menjadi perisai kepada keunikan negara ini iaitu kepelbagaian etnik yang membolehkan turut sama dalam merayakan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Ini seiring dengan apa yang diidamkan oleh Perdana Menteri di bawah konsep 1Malaysia iaitu memberi keyakinan dan kepercayaan serta motivasi untuk mempertahankan hak masing-masing dan dilakukan dengan penuh tanggungjawab atas nama warga Malaysia; membina keadilan dan kesaksamaan agar jurang ketidaksamarataan dapat diperbaiki.
Kembalikan semula kegemilangan ziarah dan melawat sebagaimana masa yang lalu. Bina ruang baru tanpa lupa asal-usul kita; biar ada kesinambungan daripada keserasian.
Anak-anak dari pelbagai kumpulan etnik hari ini perlu memahami maksud yang tersurat dan tersirat merayakan Aidilfitri dalam konteks 'anak Malaysia' seiring dengan 1Malaysia dan kesemuanya bergantung kepada sejauh manakah kita bersedia untuk mendidik mereka erti sebenar perayaan.
Hayati lagu M.Nasir - 'Satu Hari Di Hari Raya' dan Tan Sri P.Ramlee - 'Dendang Perantau'; kenangi semua terutama keluarga.
Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh warga Malaysia, khususnya warga Tanjong Malim, Sekolah Rendah Methodist dan Sekolah Menengah Methodist Tanjong Malim; Sekolah Menengah Teknik, Cheras; Institut Sri Kubu Tanjong Malim; Sekolah Menengah Khir Johari Tanjong Malim; Kolej Kediaman Kelima, Universiti Malaya; dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan