7 September 2010

Setiausaha Politik MB meninggal dunia

UM - 7/9/10

JOHOR BAHRU 6 Sept. - Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr. Gunawan Mahmud, 51, meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang di pejabatnya di bangunan Dato' Jaafar Muhammad Kota Iskandar, Nusajaya, dekat sini hari ini.

Sebelum masuk ke pejabatnya, Allahyarham dikatakan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik ekoran tidak sihat sebelum berehat di biliknya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norhayati Ma'rof, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki yang kesemuanya masih belajar.

Dr. Gunawan berkhidmat dengan Pejabat Menteri Besar Johor sejak 16 September 2008.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat dengan Jabatan Penerangan.

Utusan Malaysia difahamkan, anak sulung Allahyarham, Amirah Izzati, 21, kini sedang berada di Libya mengikuti kursus Bahasa Arab sebagai keperluan dalam Kursus Undang-undang Syariah, Kolej Islam Antarabangsa.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Wahyu Budiman Rendra ketika dihubungi memberitahu, beliau menerima panggilan kira-kira pukul 4 petang daripada isteri Allahyarham untuk memaklumkan perkara berkenaan.

"Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumah ibu bapanya di Felda Ulu Tebrau dan dijangka dikebumikan pagi esok di tanah perkuburan Felda Ulu Tebrau," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: