30 Oktober 2010

Ansari sekali lagi jatuh ke laut

BH - 2010/10/30

ANSARI berpaut pada pelantar pejalan kaki yang runtuh menyebabkan beliau dan empat anggota jentera kempen terjatuh ke laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, semalam.

SANDAKAN: Seolah-olah sudah terkena sumpahan, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansari Abdullah semalam sekali lagi terjatuh ke dalam laut – kali ini bersama empat jentera pilihan raya PKR di Kampung Gas, dua hari selepas terjatuh ke dalam laut di Kampung Api-Api, Pulau Timbang, dekat sini.

Jika pada Rabu lalu, Ansari dan pengurus kempennya, Oting Enchi serta seorang wartawan televisyen portal basah kuyup akibat terjatuh ke dalam laut apabila jeti di Kampung Api-Api runtuh ketika beliau dan rombongan jentera pilihan raya PKR berkempen, kali ini beliau dan empat lelaki terbabit terjatuh apabila pelantar pejalan kaki di sebuah rumah atas air runtuh.

Jurucakap PKR berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Ansari dan rombongan jentera pilihan raya PKR, termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedang berjalan ke rumah seorang penduduk kampung.

“Menteri Besar Selangor sudah masuk ke dalam rumah. Bagaimanapun ketika Ansari dan empat anggota jentera kempen PKR yang masih berada di luar pintu rumah melangkah masuk ke dalam rumah, papan kecil yang menghubungkan rumah itu dengan pelantar pejalan kaki tiba-tiba runtuh.

“Mereka terus terjatuh ke dalam laut. Bagaimanapun, mereka bernasib baik kerana ketika itu air surut. Anggota jentera kempen yang lain segera memberikan bantuan.

“Ansari dan keempat-empat lelaki terbabit dibawa ke sebuah klinik di bandar ini untuk menerima rawatan. Ansari menjalani pemeriksaan X-ray di kaki kanannya yang cedera ringan,” katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Jurucakap itu berkata, Ansari tetap akan meneruskan kempen menjelang hari mengundi 4 November ini dan sama sekali tidak akan berputus asa dengan kejadian itu.

Kampung Gas adalah antara kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong yang menjadi tumpuan kempen Barisan Nasional (BN), PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Kampung berkenaan kebanyakannya dihuni masyarakat berpendapatan rendah yang bergantung rezeki pada hasil laut. Rumah yang diperbuat daripada papan di atas air dihubungkan melalui pelantar pejalan kaki diperbuat daripada kayu.

Ansari, 56, peguam terkemuka di Kota Kinabalu sebelum ini dilaporkan mengalami nasib malang yang sama di Kampung Api-Api, Pulau Timbang.

Sementara itu di Kuala Lumpur, pengasas PKR yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti selama dua penggal, Ng Lum Yong mendakwa Ansari bukan calon pilihan akar umbi dan pucuk pimpinan Sabah sebaliknya pilihan ‘ahli emas’ parti peringkat pusat.

Ng berkata, berikutan itu, seluruh jentera PKR Sabah tidak turun menjalankan gerak kerja kempen membantu Ansari yang disifatkannya bukan mewakili suara hati peringkat akar umbi dan kepemimpinan peringkat negeri.

/hwa: bharian.com.my/

Tiada ulasan: