25 Oktober 2010

Aziz calon BN DUN Galas

UM - 25/10/10

GUA MUSANG 24 Okt. - Bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.

Pemilihan Aziz, 49, yang merupakan anak jati Gua Musang, diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 2,000 ahli dan pemimpin UMNO serta parti komponen di Bilik Gerakan BN Bukit Cekati dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang ini.

Antara yang hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Galas yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Muhyiddin berkata, pemilihan Abdul Aziz mendapat persetujuan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah mengadakan perbincangan dan konsultasi di peringkat UMNO bahagian.

Beliau sehubungan itu berharap, semua jentera parti memberikan sokongan padu kepada Abdul Aziz bagi membolehkan BN merampas kembali kerusi DUN Galas yang terlepas kepada Pas pada Pilihan Raya Umum 2008.

"Paling penting, kita berpegang teguh kesetiaan kepada parti dan mengetepikan sentimen peribadi dengan mengutamakan kemenangan BN.

"Saya berharap jentera Pemuda, Wanita dan Puteri turun padang menemui lebih 11,000 pengundi kerana sudah ada yang menunggu sentuhan ajaib BN," katanya berucap pada majlis pengumuman calon tersebut di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO yakin Abdul Aziz akan mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi Galas bagi membolehkan kerajaan BN membawa lebih banyak kemajuan ke kawasan berkenaan.

Katanya, Kerajaan Pusat yang diterajui oleh BN lebih berkemampuan untuk melaksanakan rancangan pembangunan besar di Kelantan khususnya di Galas.

Mengulas dakwaan pembangkang kemenangan BN di Galas kelak tidak akan membawa sebarang makna, Muhyiddin menegaskan, perkara itu mungkin tidak penting kepada Pas, tetapi sebaliknya untuk UMNO kerana ia melibatkan masa depan rakyat yang perlukan pembelaan.

Beliau sehubungan itu meminta pengundi memilih calon daripada parti yang terbukti boleh dan mampu melaksanakan program pembangunan untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih selesa.

Mengulas lanjut mengenai keputusan BN untuk bertanding, beliau berkata, ia untuk membolehkan rakyat Galas mendapat pembelaan menerusi calon yang berkaliber, mesra rakyat dan mempunyai latar belakang baik bagi mengisi kekosongan kerusi DUN berkenaan.

Ia juga sebagai satu sokongan kepada usaha Perdana Menteri dalam membawa transformasi ekonomi kepada negara, katanya.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Muhyiddin berkata, sokongan yang bakal diberikan oleh pengundi kepada Abdul Aziz akan memberi mesej yang kuat kepada rakyat di seluruh negara bahawa mereka mahukan pembangunan yang gagal dilakukan oleh kerajaan Pas.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: