25 Oktober 2010

Calon BN miliki kelebihan

UM - 25/10/10

SEGAMAT 24 Okt. - Barisan Nasional (BN) memiliki kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas memandangkan kedua-dua calon yang diumumkan memiliki kekuatan masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau juga yakin jentera yang digerakkan BN akan membantu memastikan kemenangan dapat dicapai dalam kedua-dua pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin calon yang diumumkan dan diletakkan di kedua-dua kawasan itu telah diteliti dengan mendalam dan Insya-Allah, mereka mempunyai kekuatan masing-masing untuk memenangi kerusi ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) Wilayah Segamat di Gugusan Felda Maokil, Labis, di sini hari ini.

Hari ini, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54 , balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah diumumkan sebagai calon BN di Batu Sapi manakala Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, 49, pula bakal membawa cabaran di Galas.

Menurut Mohd. Shafie, pemilihan Linda Tsen sebagai calon amat tepat kerana dia bukan pemimpin yang asing di Batu Sapi.

"Dia ialah seorang ahli PBS (Parti Bersatu Sabah) di Batu Sapi dan di situ, mendiang suaminya merupakan bekas wakil rakyat dan dia seorang penggerak Wanita PBS yang cukup aktif," katanya.

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: