UM - 18/10/10
![]() |
| NAJIB Tun Razak melayan penuh mesra Mohammad Nur Aliff Omar ketika bersarapan pagi sambil diperhatikan bapa kanak-kanak itu, Omar Bakar di Sri Perdana, Putrajaya, semalam. |
Disahkan menghidap "Duchenne Muscular Dystrophy" sejak tiga tahun lepas, Mohammad Nur Aliff yang diterbangkan dari Miri, Sarawak oleh Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, diberi kejutan apabila dibawa mengunjungi Perdana Menteri di Sri Perdana di sini hari ini.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa hampir sejam menghiburkan kanak-kanak itu yang tiba bersama ibu bapa dan neneknya serta wakil Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia.
"Suka dapat jumpa Perdana Menteri," katanya ringkas dan malu-malu kepada pemberita ketika ditemui selepas itu.
Selain menemani Mohammad Nur Aliff bersarapan, Najib juga sempat membawanya ke bilik bacaan beliau selain menunjukkan ikan Arowana yang dipeliharanya selepas mengetahui kanak-kanak itu gemar melihat ikan hiasan.
Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut Omar Bakar, 55, berkata dia berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi menemui anaknya.
''Ini kali pertama saya dan isteri, Norhidayatul Farhana Abdullah, 38, datang ke Semenanjung dan tidak menyangka berpeluang menemui pemimpin negara yang sangat kami hormati,'' katanya.
Presiden Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia, Tan Sri Dr R.V.Navaratnam yang turut hadir berkata, pihaknya berasa terharu dengan rasa simpati Perdana Menteri dan isteri terhadap penderitaan yang ditanggung Mohammad Nur Aliff.
Beliau berkata kanak-kanak itu tiba di Kuala Lumpur sejak Jumaat lepas dan akan berlepas pulang ke Miri malam ini.
"Persatuan ini bermatlamat memenuhi impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik yang tidak mempunyai harapan untuk pulih. Kami bekerjasama dengan semua hospital di seluruh negara untuk memilih kanak-kanak yang bakal dipenuhi impiannya," kata beliau.
Sebelum berlepas pulang, Mohammad Nur Aliff akan dibawa melawat Zoo Negara yang juga merupakan impian kanak-kanak tersebut.
/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan:
Catat Ulasan