16 Oktober 2010

Konvensyen UMNO: Hisham janji pertahan Terengganu

UM - 16/10/2010 2:44pm

KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjanji memberi komitmen padu untuk bersama-sama barisan kepimpinan UMNO negeri bagi memastikan parti itu terus berkuasa di negeri ini.

Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, beliau juga bersedia untuk terus memikul amanah serta tanggungjawabnya itu sebaik mungkin dalam meneruskan agenda perjuangan UMNO tulen bagi membela nasib dan masa depan bangsa dan agama.

Pada masa yang sama, Hishammuddin turut menyeru seluruh kepimpinan UMNO sehingga peringkat akar umbi agar bangkit semula untuk merapat dan mengukuhkan barisan demi satu perjuangan parti.

"Inilah harapan dan realiti saya kerana UMNO dilahirkan untuk perjuangan Melayu. Hari ini saya merayu, berpecahnya UMNO maka berkecailah Melayu, mati UMNO maka berkuburlah Melayu. Berjanjilah, kita akan berjuang bagi menyahut seruan bangsa dan agama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Terengganu 2010 di Primula Beach Resort di sini hari ini. Konvensyen yang julung kali diadakan itu menghimpunkan seramai 1,200 pemimpin dan ahli UMNO Terengganu.

Hishammuddin dalam ucapannya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai titik tolak kepada seluruh pemimpin dan ahli UMNO negeri untuk kembali bertaut selain mengembalikan kepercayaan pucuk pimpinan parti terhadap UMNO negeri ini.

Malah katanya, konvensyen itu juga akan menjadi wadah penting bagi menentukan hala tuju selain membawa agenda perjuangan UMNO negeri ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan.

Beliau juga yakin, dengan konsistensi kepimpinan UMNO termasuk di Terengganu, ia dapat mempertahankan kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Kita akan mempertahankan negeri Terengganu dan juga merampas semula kerusi di negeri-negeri lain yang jatuh ke tangan pembangkang. Segala-galanya bermula dari Konvensyen Terengganu 2010 ini," jelasnya. – Utusan

/hwa: utusan.com.my/

Tiada ulasan: