UM - 15/10/10
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pelbagai pihak berharap Bajet 2011 yang diumumkan esok memberi penekanan kepada mengurangkan bebanan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama melibatkan cukai dan kawalan harga barang keperluan.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, umum mengharapkan tumpuan lebih diberi kepada kemudahan dan keselesaan rakyat berbanding projek mega atau peruntukan untuk pertahanan negara.
"Kita berharap projek kecil seperti penubuhan klinik di samping aspek pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan pelancongan yang memberi manfaat terus kepada rakyat diutamakan dan bukannya projek mega atau untuk membeli senjata.
"CASSA juga berharap cukai pendapatan untuk gaji di bawah RM6,000 dihapuskan terus memandangkan lebih 60 peratus rakyat kini hidup bergantung kepada kredit (berhutang) kerana kekurangan wang tunai untuk dibelanjakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jacob menegaskan, rakyat juga sudah bosan dengan masalah ketirisan dan rasuah dalam pelaksanaan rancangan kerajaan dan berharap satu mekanisme atau pasukan khas untuk mengaudit aliran dana dapat ditubuhkan.
Bagi Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, tumpuan utama harus diberi kepada rakyat yang mungkin terjejas akibat kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi.
"Kita juga berharap bantuan secukupnya diberi kepada kumpulan sasaran terutama miskin tegar apabila subsidi dihapuskan secara berperingkat," jelasnya.
Saranan itu turut disokong Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud yang mahu tumpuan diberi kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penghapusan cukai, elaun sara hidup serta usia persaraan.
"MTUC juga berharap saranan gaji minimum diberi perhatian di samping penubuhan tabung untuk pekerja yang diberhentikan tanpa sebarang kesalahan," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berharap golongan pelajar tidak terpinggir melalui peningkatan peruntukan untuk Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
"Peruntukan kepada dua kementerian ini akan menentukan pembangunan fizikal dan mental pelajar yang akan menentukan hasil usaha kerajaan membina modal insan negara," katanya.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Profesor Datuk Dr. Kamaruddin Kachar turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan terutama di kawasan luar bandar yang ramai berhijrah demi mencari pekerjaan.
"Pembangunan luar bandar perlu diberi tumpuan khusus bukan sahaja daripada sudut pembangunan fizikal malah industri desa yang memberi pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk seterusnya mengelakkan mereka berhijrah," tegasnya.
/hwa: utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan